KUALA LUMPUR: Di sebalik tindakan Israel menghentikan kemasukan semua bantuan kemanusiaan ke Gaza, bantuan rakyat Malaysia tetap disalurkan ke wilayah itu.
Kakitangan Global Ehsan Relief Malaysia, Haris Sharim berkata, pihaknya tetap meneruskan siri bantuan sepanjang Ramadan itu menerusi rakan kerjasama yang beroperasi di Semenanjung Gaza.
Tambahnya, menerusi program Ehsan Ramadan 2025, Global Ehsan Relief menyediakan 14,500 pek makanan panas untuk berbuka puasa di Gaza sepanjang bulan mulia ini.
“Setiap pek makanan itu, merupakan hidangan berkhasiat, kombinasi nasi dan ayam yang cukup untuk hidangan satu keluarga,” jelas Haris.
Haris berkata, pihaknya memilih untuk mengagihkan juadah iftar di utara Gaza memandangkan akses bantuan yang sangat terhad di sana.
“Kepulangan setengah juta penduduk ke utara Gaza ketika gencatan senjata baru-baru ini mewujudkan keperluan bantuan mendesak luar jangka, yang memburukkan situasi kemanusiaan sedia ada,” jelas Haris.
Selain itu katanya, Global Ehsan Relief turut menyalurkan bantuan 8,000 liter bekalan air bersih setiap hari di seluruh Gaza.
“Lori yang membawa tangki air bersih akan digerakkan ke kawasan yang memerlukan seperti di Deir Al-Balah di tengah Gaza serta Rafah dan Khan Younis di selatan,” katanya.
Menurut Haris, akses air di Rafah berkurang sehingga tujuh peratus akibat serangan.
“Rakyat Palestin di Gaza mempunyai akses kurang daripada tujuh liter air setiap hari untuk setiap orang – hampir tidak cukup untuk satu kali siraman tandas,” kata Haris.
Beliau berkata, sokongan rakyat Malaysia perlu diteruskan bagi memastikan bantuan asas kepada rakyat Palestin di Gaza tidak terputus.
Israel telah memusnahkan lebih 1,600 kilometer infrastruktur air dan sanitasi di Gaza, termasuk pemotongan bekalan kuasa dua loji penyahgaraman air di Deir Al-Balah, tengah Gaza baru-baru ini.
Pada Ahad, Israel telah menghentikan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza serta-merta. — AlHijrah Online