KUALA LUMPUR: Bantuan Selenggara dan Naik Taraf (SNT) Institusi Pendidikan Islam (IPI) merupakan peruntukan khas kerajaan persekutuan bagi membantu menaik taraf IPI.
Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), bantuan itu adalah berdasarkan permohonan dan bukan pemberian tetap secara tahunan kepada IPI yang berdaftar.
“Kerajaan amat prihatin dengan kebajikan IPI dan setakat ini tidak pernah gagal untuk menyalurkan peruntukan kepada IPI yang memohon.
“Walaubagaimanapun, kerajaan akan berhubung melalui pemegang taruh dengan IPI bagi mengenal pasti keperluan naik taraf IPI dan sentiasa membantu memudahkan proses permohonan ini,” katanya hari ini.
Dalam pada itu JAKIM menegaskan, peruntukan tersebut akan disalurkan terus ke dalam akaun IPI yang memohon bagi mengelakkan karenah birokrasi dan memudahkan pihak IPI meneruskan projek pembangunan seperti dipohon.
Kenyataan JAKIM hari ini bagi mengulas dakwaan “JAKIM sahkan lebih 2,700 sekolah agama belum terima peruntukan kerajaan”.—AlHijrah Online