BEBANAN HUTANG PUNCA SUAMI PUKUL ISTERI GUNA TUKUL BESI

KUALA TERENGGANU: Masalah kewangan dan bebanan hutang antara punca suami bertindak memukul isterinya menggunakan tukul besi hingga maut, di Kampung Besol, Bukit Besi di Dungun, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Baharudin Abdullah berkata, polis mengenal pasti punca tersebut selepas siasatan awal dijalankan dan penahanan dibuat terhadap suami wanita tersebut sehari selepas kejadian.

“Kes masih dalam siasatan dan suspek masih lagi ditahan reman.

“Setakat ini pihak polis mengenal pasti kejadian tersebut berpunca daripada masalah kewangan yang dialami keluarga ini termasuk bebanan hutang yang perlu dijelaskan,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Baharudin berkata tempoh reman suspek yang sepatutnya berakhir Rabu ini dijangka akan disambung.

Khamis lalu, seorang tukang rumah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes bunuh melibatkan isterinya Rubiah Sabtu, 41.

Perintah tahanan reman ke atas suspek dikeluarkan Majistret Noradila Ab Latif di Mahkamah Majistret Dungun bermula Khamis 6 April sehingga Rabu 12 April.

Sebelum ini, seorang wanita maut dipercayai dibunuh suaminya dengan tukul besi dalam kejadian di Kampung Besol, Dungun pada Rabu lepas.

Kejadian berlaku selepas mangsa baru pulang ke rumah dari menghantar anaknya ke sekolah.—AlHijrah Online

Leave a Reply