BELANJAWAN 2021: JAKIM PUJI USAHA KERAJAAN TERUS MARTABAT SYIAR ISLAM

KUALA LUMPUR: Peruntukan RM1.4 bilion oleh kerajaan untuk pembangunan Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri dipuji Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata peruntukan yang bertambah RM100 juta berbanding tahun lalu itu satu pengiktirafan terhadap usaha memartabatkan syiar Islam di negara ini.
“JAKIM juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan yang terus memberi pengiktirafan terhadap usaha memartabatkan syiar Islam dengan memperuntukkan sebanyak RM 1.4 bilion bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri.
“Seperti biasa, peruntukan ini akan turut dinikmati bersama pihak pengurusan hal ehwal Islam di negeri-negeri apabila ia akan memberi manfaat kepada 4,000 orang guru takmir, 35,000 orang Guru KAFA, 14,373 orang Imam dan 15,766 orang bilal, noja, siak, marbut,” kata Abdul Aziz dalam kenyataan hari ini.
JAKIM juga katanya bersyukur atas inisiatif pihak kerajaan dengan menyediakan caruman penuh di bawah Skim Bencana Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada guru takmir, imam, bilal, siak, noja dan merbut.
Selain itu JAKIM juga menghargai pengumuman inisiatif Pendidikan Islam dan Pembelajaran Sepanjang Hayat kepada 15,000 pelajar di institusi tahfiz dan sekolah pondok.
“Secara keseluruhannya, JAKIM berpandangan pengumuman Belanjawan 2021 yang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan pada hari ini adalah belanjawan yang memenuhi tuntutan prinsip Maqasid Syariah yang menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta dalam keadaan negara sedang berhadapan pandemik COVID-19,” katanya. — AlHijrah Online