BELUM ADA KEPERLUAN KUARANTIN INDIVIDU PULANG KE SEMENANJUNG DARI SABAH

PORT DICKSON: Masih belum ada keperluan untuk mengenakan kuarantin wajib ke atas mereka yang pulang ke semenanjung selepas urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Bagaimanapun Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata perkara itu akan dibincangkan dan diputuskan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri nanti.

Jelas Adham, pihaknya akan memastikan garis panduan sama digunapakai seperti dua Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini, Pahang dan Slim, Perak.

Selain itu Adham berkata pihaknya akan menggunakan pendekatan bersasar dengan mereka yang bergejala akan dikenakan kuarantin dan terus diberikan rawatan.

Manakala mereka yang pulang dari kawasan zon merah pula akan diminta melakukan saringan kesihatan secara sukarela.

“Sekiranya mereka rasa terkesan dengan tempat-tempat ataupun kawasan-kawasan zon merah, kita nasihatkan masyarakat supaya mengadakan ujian,” katanya.

Adham berkata demikian selepas merasmikan Wellness Hub Bagan Pinang di Port Dickson, Negeri Sembilan hari ini.

Semalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan kes positif baharu COVID-19 melonjak kepada 182 kes dengan 181 daripadanya penularan tempatan.

Daripada 181 kes tempatan, 167 daripadanya merupakan Kluster Benteng di Sabah. — AlHijrah Online

Leave a Reply