BINCANG NIAGA REVIVAL BANTU USAHAWAN BANGKIT SEMULA

KUALA LUMPUR: Usaha TV AlHijrah membantu para usahawan mengembangkan perniagaan serta bangkit semula selepas pandemik COVID-19 tidak terhenti.

Terbaharu stesen televisyen Islam itu melancarkan program Bincang Niaga Revival yang menawarkan pakej iklan pada harga rendah dan berbaloi untuk para usahawan industri kecil dan sederhana (IKS).

Ketua Unit Kumpulan Integrasi Media TV AlHijrah, Ainul Mahdiyah Zahra berkata Bincang Niaga Revival akan membantu peniaga IKS menstrategi promosi produk dan perniagaan mereka.

“Bincang Niaga Revival merupakan inisiatif TV AlHijrah untuk kekal menyokong usahawan IKS agar tidak menyerah kalah.

“Kalau ada perniagaan yang dah gulung tikar dan nak bangkit semula, kita sedia membantu promosi agar perniagaan yang terhenti seketika dapat bangkit semula,” katanya.

Sementara itu Ketua Operasi Bincang Niaga, Norfiha Kasa berkata, program tersebut akan berlangsung pada 20 Ogos 2022 di TV AlHijrah dan para usahawan dijemput hadir ke stesen televisyen tersebut untuk bertemu dan berbincang bersama media strategis TV AlHijrah serta merasai pengalaman menyaksikan rancangan siaran langsung.

“Ramai usahawan yang menganggap pengiklanan di televisyen mahal. Jadi menerusi Bincang Niaga Revival kita buka peluang kepada peniaga untuk datang ke TV Alhijrah melihat sendiri pakej-pakej iklan pada harga rendah,” katanya.

Bincang Niaga Revival akan bermula pada jam 2.30 petang pada Sabtu ini.

Mereka yang hadir ke TV AlHijrah boleh menyertai sesi Biz Talk Bincang Niaga Revival dan mengikuti siaran langsung Bincang Niaga Revival.

Antara pengisian progam siaran langsung tersebut ialah perkongsian ‘Bisnes Cara Rasulullah SAW’ oleh Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan, ‘Be The Yellow Frog Among The Green Frog’ oleh Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman, dan perbincangan isu ‘Televisyen vs Media Sosial’ oleh Faizul Rohban.

Usahawan yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau berminat untuk hadir ke TV AlHijrah boleh mendaftar di http://www.tvalhijrah.com/bincangniaga. – AlHijrah Online

Leave a Reply