BN DIKOMPAUN RM10,000 TIDAK PATUH SOP

KUALA LUMPUR: Pejabat Kesihatan Kepong telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM10,000 kepada Barisan Nasional (BN) atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menerusi perkongsian Kementerian Kesihatan (KKM) di Twitter, kompaun tersebut dikenakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) susulan penganjuran majlis sosial di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC), malam tadi.
Notis kompaun kepada Setiausaha Eksekutif BN Mohamad Sahfri Ab Aziz itu menyebut parti tersebut melakukan kesalahan mengikut Peraturan 16(1) PPPAPB (langkah-langkah di dalam kawasan jangkitan) kerana gagal memastikan penjarakan fizikal yang merupakan arahan Ketua Pengarah Kesihatan.
Sebelum ini, KKM mengeluarkan larangan terhadap penganjuran aktiviti perhimpunan atau majlis sosial berkaitan PRN Melaka termasuk pelancaran jentera bermula 25 Oktober hingga 27 November ini.–AlHijrah Online