KANAK-KANAK MAUT JATUH BANGUNAN

PUTRAJAYA: Seorang kanak-kanak perempuan maut selepas terjatuh dari tingkat 7 sebuah kuarters penjawat awam, di Presint 5, di sini petang semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 6.55 petang melibatkan mangsa, Keisha Nawrah Md, 11 tahun yang ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan oleh orang awam.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersama kakak berumur 14 tahun dan adik lelaki berumur tujuh tahun di rumah.

Katanya, ibu bapa mangsa yang merupakan penjawat awam juga tiada di rumah kerana keluar bekerja.

“Siasatan mendapati mangsa berada di dalam bilik tidur seorang diri dan sedang belajar, dalam keadaan bilik berkunci dari dalam dengan jeriji tingkap tidak berkunci.

“Sebaik ibu bapa mangsa tiba di rumah, mangsa didapati tiada di dalam bilik dan mendapati keadaan tingkap terbuka sebelum menyedari orang ramai berkumpul di bawah bangunan.

“Ibu bapa mangsa kemudian bergegas ke bawah bangunan dan mendapati mangsa terbaring di atas lantai dalam keadaan kritikal,” katanya.

A. Asmadi berkata, mangsa sempat diberikan rawatan kecemasan di tempat kejadian oleh pasukan perubatan dan dibawa ke Hospital Putrajaya bagi rawatan lanjut.

Namun mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 7 malam.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Kami tidak menemui sebarang unsur jenayah di lokasi kejadian manakala, pemeriksaan doktor mendapati, mangsa patah dua belah siku dan kaki kiri dan kecederaan lain akan diketahui selepas bedah siasat,” katanya.–AlHijrah Online

Leave a Reply