BULI RAKAN, SEMBILAN PELAJAR MENGAKU TIDAK BERSALAH

KEMAMAN: Sembilan pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah berasrama di Kemaman hari ini didakwa di Mahkamah Majistret Kemaman Terengganu atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap tiga rakan mereka pada bulan lepas.

Bagaimanapun kesemua tertuduh yang berusia 16 tahun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan ke atas mereka di hadapan Majistret Tengku Elyana Tuan Kamaruzzaman.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan dengan cara menumbuk dan menyepak ketiga-tiga mangsa yang berusia 15 tahun di asrama di sebuah sekolah di Kemaman pada 23 Ogos jam 11.30 malam.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azahani Azman manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Akmal Wahidah Abd Halim.

Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin antara RM2,000 hingga RM5,500 setiap pelajar dan menetapkan 12 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan dokumen.–AlHijrah Online

Leave a Reply