HENTI FITNAH DI MEDIA SOSIAL, ELAK SEBAR KEBENCIAN

PUTRAJAYA : “Sekarang sesiapa sahaja bebas menjadi wartawan. Mencari dan melaporkan berita. Tulis di FB dan media sosial sahaja. Kemudian viral. Lebih parah apabila etika kewartawanan langsung tidak dipedulikan kerana mahu mensensasikan sesuatu isu.”

Itu kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad pada majlis pelancaran Kempen Hentikan Fitnah Di Media Sosial di Putrajaya hari ini.

Jelasnya, saban hari rakyat dihidangkan dengan penularan maklumat yang tidak pasti kesahihannya khususnya di media sosial.

Malah kebelakangan ini katanya permasalahan tersebut semakin kerap apatah lagi dengan suasana cuaca politik hari ini.

Menurutnya fitnah dalam bentuk penulisan dan hantaran dengan perkongsian maklumat yang tidak tepat serta disulami pula dengan fitnah yang memarakkan api kebencian dan kemarahan di kalangan masyarakat.

Beliau turut menyentuh mengenai isu menyerang peribadi seseorang yang telah menjadi satu perkara yang normal.

“Melaga-lagakan beberapa pihak juga sehingga berlaku pergaduhan. Maka berlakulah kutuk mengutuk, keji mengeji antara satu sama lain disebabkan perkara-perkara yang remeh sehinggakan boleh menimbulkan perselisihan, dan menjatuhkan reputasi seseorang.

“Akhirnya masyarakat termasuk diri kita terus-menerus leka menghabiskan masa di media sosial sehingga terlupa tentang dosa pahala dan akhlak moral,” kata Idris.

Sehubungan itu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menggerakkan sebuah kempen kesedaran hentikan fitnah di media sosial sebagai salah satu usaha membimbing masyarakat kembali kepada fitrah.

Fitnah katanya mesti dihentikan di semua platform kerana ia adalah satu dosa.

Tambah Idris, dakwah dalam dunia siber perlu digerakkan dengan lebih terancang dan dinamik kerana masyarakat hari ini tidak boleh berpisah dengan teknologi komunikasi.

“Kita semua berperanan sebagai pendakwah yang perlu berada secara aktif dalam persekitaran dunia siber untuk membimbing masyarakat agar sentiasa mengutamakan dan mengamalkan nilai-nilai agama dalam kehidupan. Seterusnya dapat melahirkan masyarakat yang sejahtera,” katanya. – AlHijrah Online.

Leave a Reply