BUNUH ANAK KEKASIH, PENGANGGUR DIJATUH HUKUMAN MATI

KANGAR: Mahkamah Tinggi Kangar menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang penganggur selepas didapati bersalah membunuh anak lelaki kekasihnya yang berusia enam tahun pada 2018.
Pesuruhjaya Kehakiman Dr Arik Sanusi Yeop Johari menjatuhkan hukuman itu terhadap Noraizuwan Hamali, 30, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah selain terdapat keraguan dalam pembelaannya.
Noraizuwan didakwa membunuh Muhammad Rayyan Hidayat Hairil Khan di sebuah rumah di Jalan Arau, Lorong Chempaka, Kampung Jejawi, dekat sini antara jam 3.45 petang 18 April 2018 dan 12.10 tengah malam 19 April 2018.
Pesalah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izham Ali manakala tertuduh diwakili peguam Rafidi Mohamad.
Rafidi dalam rayuannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap anak guamnya memandangkan tertuduh sudah insaf terhadap kesalahan yang dilakukannya dan berjanji tidak akan mengulanginya pada masa hadapan.
Menurutnya, anak guamnya itu bercerai dengan isterinya selain mempunyai dua orang anak berusia 11 dan sembilan tahun yang kini dijaga bekas isterinya itu.
Manakala, Mohd Izham memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana mangsa adalah seorang kanak-kanak dan juga anak kepada teman wanitanya.
Menurutnya, kanak-kanak itu mengalami kecederaan serius sehingga membawa kepada kematian.–AlHijrah Online