CATATAN KEMBARA DHUYUFURRAHMAN 1
Pada 28 Julai lalu, petugas media Tabung Haji berlepas ke Jeddah untuk memulakan tugasan bagi melaporkan berita dan perkembangan semasa jemaah haji yang bakal membanjiri Madinah dan Mekah bermula 4 Ogos ini.
Cuak dan berdebar. Malah ada ketika merasa serba tak keruan. Apatah lagi memikirkan jika diri ini layak atau tidak. Itulah yang bermain dibenak kebanyakan petugas.
Namun, bersedia atau tidak, perjalanan ini harus diteruskan kerana selain bertugas, Petugas Media Tabung Haji juga bakal menunaikan ibadah haji bersama jemaah yang lain.
Tolak tepi perasaan tidak bersedia itu, kegembiraan untuk ke tanah suci menjadi tetamu Allah mengatasi segala kebimbangan yang bersarang dihati.
Bukan semua orang mendapat peluang ini. Menjadi tetamu eksklusif Allah, menjadi dhuyufurrahman.
Rombongan petugas media dari pelbagai agensi media negara berjumlah 18 orang tiba di Madinah pada subuh 29 Julai. Cuaca panas 39 darjah celsius merangkul dalam hangat subuh di bumi bersemadinya rasul junjungan Muhammad SAW.
Dalam tempoh tiga hari setelah tiba di Madinah, petugas media berziarah ke tempat-tempat bersejarah di sekitar kota Madinah.

Petugas haji Malaysia di Jabal Uhud
Bermula dengan rombongan melawat ke Masjid Quba, Bukit Uhud, Masjid Qiblatain sehinggalah merasai sendiri keterujaan menaiki kenderaan yang bergerak tanpa enjin di Bukit Magnet.
Paling mengesankan adalah kunjungan ke Muzium Dar Al Madinah yang menghidupkan semula sejarah sejak Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi Rasul bermula dari Mekah ke Madinah dalam bentuk replika mini untuk memberikan gambaran dan kefahaman jelas mengenai sejarah bumi suci ini.
Antara replika mini yang disediakan di muzium ini adalah tapak awal Masjid Nabawi yang bersambung dengan rumah Rasulullah SAW, replika Bukit Uhud yang menerangkan strategi perang yang digunakan Rasullah SAW ketika perang Uhud, tembok yang dibina untuk melindungi Madinah dan lain-lain replika mini yang memberi kesan signifikan terhadap perkembangan Islam di bumi Mekah dan Madinah.
Paling menarik minat adalah replika yang menerangkan susunan makam Nabi Muhammad SAW yang berturutan dengan makam sahabat-sahabat baginda iaitu Saidina Abu Bakar As Siddiq dan Saidina Umar Al Khattab RA.
Nabi disemadikan di suatu sudut di halaman rumah baginda yang merupakan tempat Nabi selalu berehat dan berbaring untuk tidur siang. Pada masa kini, makam Rasulullah SAW adalah sebahagian dari kawasan Raudhah di dalam Masjid Nabawi.

Replika mini kedudukan makam Rasulullah SAW yang kini menjadi sebahagian dari Raudhah di dalam Masjid Nabawi
Pasti pengalaman berkunjung ke tempat-tempt bersejarah di Madinah bakal memberikan pengalaman berharga buat para jemaah haji pula.
Bermula 4 Ogos lalu, jemaah haji Malaysia sudah mula memasuki Madinah dengan menyaksikan pendaratan pertama KT 01 yang membawa sejumlah 489 jemaah haji. KT 02, KT 03 dan KT 04 juga dijangka akan mula sampai ke Madinah pada minggu yang sama. Mereka akan berada di Madinah selama 8 hari sebelum berangkat ke tanah suci Mekah.
-POP@AMZ