CCTV lokap pantau keselamatan tahanan

Liew Vui Keong

KUALA LUMPUR – Sebanyak 756 lokap di seluruh negara akan dilengkapkan dengan kamera televisyen litar tertutup (CCTV) dalam usaha memantau isu keselamatan tahanan sekali gus memantapkan integriti pihak berkuasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, pemasangan yang dijangka selesai hujung tahun ini melibatkan kos berjumlah RM73 juta.

“Terdapat 756 lokap diseluruh negara dan membawa implikasi kewangan yang sangat besar tetapi untuk memastikan keselamatan semua yang berada dalam lokap di balai ini, maka kerajaan telahpun setuju untuk meluluskan peruntukan ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat Berek Polis Bahagian Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am di Cheras, hari ini.

Menurut beliau lagi, pemasangan CCTV itu juga akan dibuat di lokap mahkamah bagi tujuan yang sama, namun peruntukan itu berasingan dengan CCTV lokap.

Dalam perkembangan lain, Vui Keong berkata, kerajaan turut meluluskan peruntukan berjumlah RM100 juta bagi membaik pulih lif di 210 pejabat dan kuarters polis dalam negara.

Leave a Reply