CLUBHOUSE PLATFORM BAHARU DAKWAH TV ALHIJRAH

KUALA LUMPUR: Perkembangan platform-platform media sosial perlu diambil peluang sebaiknya sebagai medium penyebar maklumat dan dakwah yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

Terbaharu TV AlHijrah meluaskan penggunaan media sosial sebagai medium menyebar dakwah dengan melancarkan kelab TV AlHijrah di platform Clubhouse.

Kelab TV AlHijrah akan mencipta ‘room’ yang akan menjadi ruang diskusi pelbagai topik berkaitan agama mahupun isu-isu semasa.

Para pendengar akan diberi peluang untuk berkongsi pandangan serta bertanya soalan-soalan secara terus kepada moderator yang diundang.

Dua ‘room’ Clubhouse telah dianjurkan TV AlHijrah sejak minggu lalu yang membincangkan isu berkaitan vaksin dan al-Quran.

‘Room’ Di Sebalik Tabir #MyQuranTime yang dianjurkan hampir dua jam bermula 9.30 malam semalam turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau sempat berkongsi tips kepada pendengar untuk kekal istiqamah membaca al-Quran setiap masa antaranya dengan memahami is kandungan al-Quran, mempelajari bahasa Arab, dan mendekat diri dengan orang yang suka dan cinta akan al-Quran.

‘Room’ semalam yang disertai pentadabbur Ustaz Fazrul Ismail dan qari Ustaz Ahmad Tirmizi Ali juga sempat bertadabbur surah Ad-Dhuha.

Ada juga pendengar antanya Datuk Rozzana Rahmat yang berkongsi bagaimana rancangan #MyQuranTime telah membuatkan dirinya faham dan semakin cinta terhadap al-Quran.

Turut serta dalam ‘room’ Di Sebalik Tabir #MyQuranTime semalam Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Pengerusi TV AlHijrah Datuk Dr Hussamuddin Yaacub, serta Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris.

Individu yang mempunyai akaun Clubhouse boleh mengikuti kelab TV AlHijrah dan menyertai banyak lagi ‘room’ yang akan dianjurkan kelak.

Clubhouse merupakan sebahagian inisiatif dakwah digital TV AlHijrah selain beberapa saluran lain yang telah dilancarkan seperti Spotify, Facebook, Instagram, Twitter, Tiktok, alhijrahnews.com dan hbit.my — AlHijrah Online

Leave a Reply