COVID-19: MUSIM HAJI YANG MENGINSAFKAN

Sumber imej: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi

ARAB SAUDI: Sejarah tercatat apabila musim haji tahun ini berjaya dilaksanakan di kala dunia diselubungi kebimbangan ancaman virus pembunuh, COVID-19 yang telah meragut hampir 700,000 nyawa setakat 4 Ogos 2020.

Dunia, sejak seminggu dua lalu pastinya bertumpu kepada kota paling suci umat Islam, termasuk bumi Arafah, Muzdalifah dan Mina yang lazimnya dikunjungi dua hingga tiga juta jemaah dari seluruh dunia saban tahun untuk menunaikan rukun Islam kelima.

Namun, apakan daya. Pandemik berbahaya itu turut menjejaskan operasi haji kali ini. Biar pun ia tetap dilaksanakan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat, namun Arab Saudi mengambil pendekatan luar biasa.

Riyadh membuat ketetapan; tiada jemaah luar dibenarkan masuk ke Arab Saudi untuk menunaikan haji; hanya kira-kira seribu individu terpilih sahaja yang akan menunaikan rukun Islam kelima itu dan mereka hanya daripada kalangan warga asing dan rakyat tempatan yang berada di dalam negara itu.

SOP paling ketat turut diperkenalkan. Jemaah terpilih dikuarantin 14 hari sebelum dan selepas selesai ibadah haji. Manakala aspek penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka diletakkan sebagai keutamaan pada setiap rukun dan wajib haji.

3 Ogos 2020, para dhuyufur Rahmaan melakukan tawaf wada’, bererti tawaf perpisahan sebelum kembali ke destinasi asal masing-masing. Arafah dilalui, Muzdalifah disinggahi, Mina diharungi.

Time lapse Tawaf Wada’. Sumber Video: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi / Kementerian Media Arab Saudi

Mereka kini mula menjalani kuarantin 14 hari selepas kembali dari Makkah. Terdahulu sebaik selesai tawaf wada’, kesemua haji dan hajjah diarah membuat pemeriksaan kesihatan mandatori untuk memantau tahap kesihatan masing-masing usai ibadah haji disempurnakan.

Sumber imej: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi

Imam Besar Masjidil Haram, Sheikh Abdul Rahman As Sudais yang juga Presiden Haramain menzahirkan ucapan tahniah kepada semua pihak di atas kejayaan operasi haji musim ini.

Penghargaan itu turut ditujukan As Sudais kepada kepimpinan Arab Saudi, Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri, para petugas, sukarelawan dan para jemaah sendiri di atas disiplin yang tinggi menjulang kejayaan melaksanakan operasi haji yang disifatkannya paling bersejarah itu.

As Sudais, dalam pada itu juga memuji aspek kekerapan penyucian dan penjagaan kebersihan di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi tiada tandingannya.

“Tiada tempat di dunia ini yang dibersih dan disucikan lebih daripada apa yang dibuat di dua masjid utama ini”.

Kira-kira 3,500 petugas kebersihan lelaki dan wanita bertungkus lumus memelihara kebersihan Masjidil Haram, dengan rutin 10 kali pembersihan setiap hari.

Sumber imej: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi
Sumber imej: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi

“900 liter cecair sanitasi tangan, 1,050 liter semburan wangian dan 54,000 cecair disinfeksi digunakan setiap hari untuk proses pembersihan Masjidil Haram dan ruang-ruang sekitarnya”.

Sementara itu di Madinah, kira-kira 250 jemaah haji menziarahi bandar bersejarah itu sebelum berangkat pulang ke kediaman masing-masing.

Manakala selebihnya berangkat ke lapangan terbang di Jeddah, untuk penerbangan domestik ke tempat tinggal masing-masing.

Dua minggu dikuarantin, pergerakan jemaah masih tetap dipantau melalui gelang tangan khas yang dipakai sejak awal musim haji lagi. Ia juga merekodkan maklumat kesihatan jemaah sepanjang tempoh kuarantin itu.

Sumber imej: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi

Lebih seribu jemaah haji termasuk lapan dari Malaysia pastinya mengukir senyuman kegembiraan selepas ibadah haji mereka berlangsung sempurna di sebalik pelbagai syarat, peraturan dan SOP ketat yang dikenakan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga ‘tabik’ kepada Arab Saudi di atas pengendalian operasi haji kali ini. WHO kagum dengan kemampuan Arab Saudi dan berharap ia dijadikan contoh buat negara lain dalam melaksanakan acara berskala besar biar pun dengan SOP paling ketat.

Ketika ini pihak berkuasa Arab Saudi pasti membuat post mortem. Menilai baik buruk dan mengambil pengajaran musim haji luar biasa kali ini.

Apa yang boleh dipelajari daripada kelemahan yang timbul, akan dijadikan panduan sebelum membenarkan ibadah umrah dilaksanakan semula untuk skala yang lebih realistik, demikian menurut laporan media tempatan.

Sumber imej: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi

Penat lelah mengurus operasi haji tidak terhenti di sini. Pelbagai persediaan rapi pula akan dibuat menjelang musim umrah yang turut akan menjadi sedikit ‘luar biasa’ tidak lama lagi.

Hamba-hamba Allah pula mengharapkan musim haji akan datang kembali seperti sediakala. Jutaan lagi masih mendambakan suasana syahdu penuh kehambaan di padang Arafah, tekad melawan hasutan iblis di Mina, dan ibadah dengan pahala berlipat kali ganda di depan Kaabah.

Semoga Allah mengampuni dosa-dosa hambanya, menjernihkan hati-hati mereka yang keruh dan diambil penuh iktibar akan apa yang berlaku di akhir zaman ini. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Sumber imej-imej: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi

Semoga COVID-19 berlalu pergi bagaikan angin yang bertiup dan terus lerai hingga lenyap dari muka bumi ini. Insha Allah. – AlHijrah Online / Hj. Ardi Herman Mohd Mardzi

Leave a Reply