COVID-19: PERATUSAN ‘BOOSTER’ HANYA 49 PERATUS

Sumber Gambar: BERNAMA

PUTRAJAYA: Hanya 49 peratus rakyat Malaysia telah mendapatkan dos vaksin penggalak COVID-19, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam sidang media khas tengahari tadi, beliau berkata bekalan vaksin masih lagi banyak iaitu sekitar enam juta dos.

Ia disebabkan dos penggalak tidak mendapat sambutan seperti dos pertama dan kedua, banyak bekalan itu sebelum ini sudah dilupuskan.

“Jadi saya usulkan mula dengan wartawan yang belum ambil booster (penggalak) pertama untuk ambil, kerana jangkitan ini ikut unjuran dan kajian Kementerian Kesihatan belum menentu, belum tamat.

“Kalau yang dah ambil dos pertama, dos kedua, booster itu kena ada, kerana vaksin ini masih ada. Jadi untuk bulan Januari ini semua wartawan dikehendaki ambil booster kemudian disusuli dengan rakyat lain kerana kalau wartawan beri contoh teladan yang baik, itu akan diikuti oleh rakyat,” katanya. 

Malah Perdana Menteri turut menjelaskan beliau juga telah mendapatkan dos penggalak COVID-19.

“Saya sudah (ambil dos penggalak). Alhamdulillah. Saya boleh tunjuk saya punya MySejahtera,” katanya ketika ditanya pemberita sama ada beliau telah mendapatkan dos penggalak itu.—AlHijrah Online

Leave a Reply