COVID-19: TUJUH LAGI KES POSITIF DICATATKAN

PUTRAJAYA: Malaysia mencatat tujuh kes terbaru positif COVID-19 hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes tersebut di negara ini kepada 36 kes, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin diberi taklimat berhubung status COVID-19 oleh Pasukan Petugas Khas Kementerian Kesihatan, daripada jumlah 36 kes itu, 14 kes masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sungai Buloh, manakala selebihnya 22 kes telah sembuh. 

Kesemua kes yang dirawat di wad adalah dalam keadaan stabil, menurut kenyataan itu. 

Menurut kenyataan Jabatan Perdana Menteri itu, setakat jam 8 pagi hari ini, jumlah kes keseluruhan COVID-19 di 70 buah negara adalah sebanyak 90,306 kes dengan 45,603 atau 50.5 peratus kes telah sembuh manakala 3,084 kematian dicatatkan.

Terdahulu, Muhyiddin mengadakan perbincangan bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Kementerian Luar  Datuk Seri M. Shahrul Ikram Yaakob dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman, mengenai status terkini jangkitan COVID-19.

Turut hadir pada taklimat berkenaan ialah Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Kenyataan itu memaklumkan, dua misi bantuan kemanusiaan untuk membawa pulang rakyat Malaysia bersama tanggungan (pasangan dan anak) dari Wuhan, China telah dilaksanakan dan diselaraskan oleh NADMA bersama KKM dan agensi-agensi berkaitan.

“Dalam misi pertama, 107 warganegara Malaysia dan tanggungan telah dibawa pulang pada 4 Februari lepas dan telah selesai menjalani saringan kesihatan selama 14 hari di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) pada 18 Februari dan kesemua mereka didapati negatif. 

“Dalam misi kedua, sebanyak  68 warganegara Malaysia dan tanggungan yang dibawa balik dari Wuhan sedang menjalani saringan kesihatan di AKEPT mulai 26 Februari sehingga 11 Mac ini,” menurutnya.

Menurut kenyataan itu, pada 22 Feb lepas, sebanyak 100 kru warganegara Malaysia daripada kapal persiaran World Dream Cruise telah menjalani saringan kesihatan di INTAN Wilayah Selatan (IKWAS) dan kesemua didapati negatif dan sedang menjalani pemantauan rumah selama 14 hari di kediaman masing-masing.

 Perdana Menteri turut dimaklumkan bahawa Jawatankuasa Kerja Mengenai COVID-19 yang dipengerusikan oleh KSN bermesyuarat secara berkala bagi meneliti status situasi terkini dan mengambil tindakan bagi mengekang penularan COVID-19, kata kenyataan itu. 

Menurut kenyataan itu, Perdana Menteri berpuas hati dengan agensi kerajaan yang telah melaksanakan tugas dengan baik dalam menguruskan penularan COVID-19 dan merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat khususnya kakitangan barisan hadapan dan kakitangan perubatan.

Muhyiddin juga mengarahkan agar Pasukan Petugas Khas terus memantau status dan usaha-usaha pencegahan penularan COVID-19 bagi memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia.

“Perdana Menteri menasihatkan seluruh rakyat agar tidak panik dengan melakukan ‘pembelian panik’ dan sentiasa mengambil langkah-langkah penjagaan kesihatan sepertimana  telah digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Mereka yang berkunjung ke negara berisiko seperti China, Korea Selatan, Jepun dan Itali hendaklah mematuhi nasihat perjalanan dan kesihatan yang dikeluarkan dan segera ke hospital atau klinik sekiranya mempunyai simptom seperti batuk, demam dan sesak nafas,” menurut kenyataan itu. — BERNAMA

Leave a Reply