
MEKAH: Jemaah haji Malaysia dinasihatkan agar memberi perhatian serius terhadap penjagaan kesihatan serta mengurangkan aktiviti luar susulan cuaca panas melampau di Arab Saudi yang dijangka mencapai suhu sehingga 48 darjah Celsius dalam masa terdekat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata langkah itu penting memandangkan kemuncak ibadah haji serta operasi Masyair akan berlangsung dalam keadaan suhu yang tinggi.
Beliau berkata, jemaah digalakkan menggunakan laluan berbumbung atau membawa payung ketika menuju ke Masjidil Haram selain memastikan pengambilan air mencukupi bagi mengelakkan dehidrasi dan strok haba.
“Para jemaah juga digalakkan untuk kekal berada di dalam khemah ketika operasi Masyair nanti bagi mengelakkan terdedah kepada cuaca terlalu panas, terutama ketika waktu wukuf,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut beliau, pasukan perubatan haji Malaysia kini berada dalam keadaan siap siaga dengan pelbagai langkah awal dilaksanakan dengan pihak berkuasa Arab Saudi bagi menjamin keselamatan serta kesejahteraan jemaah sepanjang musim haji, terutama semasa operasi Masyair.
Semalam, Pusat Meteorologi Kebangsaan Arab Saudi mengeluarkan amaran cuaca panas ekstrem dengan suhu di kawasan sekitar Makkah dijangka mencecah 48 darjah Celsius.
Arab Saudi menetapkan 1 Zulhijah 1447H pada Isnin lalu, manakala hari wukuf di Arafah yang menjadi kemuncak ibadah haji dijangka berlangsung dalam tempoh kurang seminggu lagi. — AlHijrah Online