DASAR IKTIRAF LGBTIQ AMERIKA SYARIKAT DITOLAK – ZULKIFLI

KUALA LUMPUR: Malaysia menolak dasar pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden yang mahu mempromosikan hak asasi golongan lesbian, gay, biseksual, transgender, khunsa dan pelik (LGBTIQ) di seluruh dunia.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, budaya LBGTIQ bertentangan dengan syariat Islam.

“Ianya bertentangan dengan syariat Islam dan kerajaan Malaysia tidak menyokong sebarang kempen yang dilabelkan sebagai LGBTIQ di negara ini,” dalam kenyataannya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor menganggap langkah Joe Biden tidak sensitif dan menimbulkan ketidaktentuan terhadap umat Islam bukan hanya di AS malah di serata dunia.

“Dalam pilihan raya lalu, sebahagian besar penyokongnya adalah warganegara yang beragama Islam dan sepatutnya beliau sensitif dalam setiap tindakannya.

“Apa yang dilakukan Biden hanya merujuk kepada hak asasi manusia yang tidak berteraskan agama Islam dan ia tidak sesuai untuk diamalkan di negara ini,” katanya.

Terdahulu, Joe Biden mengarahkan semua agensi kerajaan AS di luar negara untuk mempromosikan golongan LGBTIQ di luar negara dalam tempoh 180 hari.

Beliau sekali gus meletakkan hak asasi golongan itu pada tahap lebih tinggi dalam agenda dasar luar negara AS berbanding sebelum ini.—AlHijrah Online

Leave a Reply