‘DIA ISTERIKU’ BERI PENGAJARAN AKIBAT FITNAH

KUALA LUMPUR: Slot Qalbu TV AlHijrah akan menayangkan drama terbaru ‘Dia Isteriku’ pada setiap Isnin dan Selasa jam 6 petang bermula esok.

Drama bersiri 13 episod ini mengisahkan sebuah perkahwinan bahagia Helmi dan Aisyah diuji akibat fitnah yang disebarkan oleh ahli keluarga sendiri.

Perkahwinan dengan Helmi satu anugerah tidak ternilai buat Aisyah kerana dia telah melalui kehidupan yang perit bersama bekas suaminya Bahar selama enam tahun bersama.

Bagaimanapun, kebahagiaan itu goyah apabila Elisya iaitu anak Aisyah ketika berkahwin dengan Bahar datang tinggal bersama Helmi dan Aisyah.

Elisya yang selama ini tinggal dengan bapanya, Bahar mengalami kejutan budaya apabila tinggal bersama Helim dan Aisyah.

Sewaktu tinggal dengan bapanya hidupnya agak bebas dan dia tidak ditekankan mengenai hukum hakam agama.

Suasana amat berbeza apabila dia datang tinggal dengan Aisyah sekeluarga yang menekankan kehidupan Islamik dan penuh kasih sayang.

Aisyah dan Helmi berusaha membantu Elisya mengubah dan mengikut corak hidup sebagai muslimah sejati.

Keikhlasan, kejujuran dan layanan mesra Helmi terhadap Aisyah dan dirinya, menyebabkan Elisya terpikat dengan bapa tirinya itu.

‘Dia Isteriku’ yang ditayangkan selama satu jam setiap episod akan dilakonkan Rozita Che Wan sebagai Aisyah, Hafidz Roshdi sebagai Helmi, Shalma Eliana sebagai Elisya dan Datuk Fizz Fairuz sebagai Bahar.

Ia merupakan karya terbitan Sha’s Media SDN BHD yang diarahkan oleh Mazri Mustafa manakala Penulis Skrip Zarihah Hassan.

‘Dia Isteriku’ merupakan salah satu drama yang diterbitkan melalui inisiatif Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif (PELAKSANA) di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Drama tersebut pastinya akan menyajikan kandungan yang penuh pengajaran untuk tontonan seisi keluarga. – AlHijrah Online

Leave a Reply