DUA BERANAK LEMAS KETIKA BERSIHKAN KOLAM TAKUNGAN

Sumber gambar: JBPM

KAJANG: Niat seorang remaja membantu ayahnya pada hujung minggu berakhir tragedi apabila dua beranak itu lemas di kolam takungan di Taman Cahaya Sungai Chua di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada kira-kira 2 petang itu, bot dinaiki Mohd Adnan Johdi, 50, serta dua anak lelakinya Hakimi, 15, dan Mohamad Mustaqkim, 17, terbalik ketika mereka melakukan kerja membersihkan kolam takungan tersebut, namun Mohamad Mustaqkim terselamat.

Mohamad Mustaqkim berkata mereka bertiga membuat kerja membersihkan kolam takungan tersebut sejak pukul 11 pagi.

“Kami melakukan kerja mengutip sampah dan memotong daun teratai yang diletakkan di dalam perahu (bot) yang kami naiki sebelum ia semakin berat dan tenggelam. Saya hanya sempat melihat ayah cuba menyelamatkan adik yang tidak pandai berenang, sebelum saya berenang ke tepi kolam,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian.

Suasana pilu menyelubungi lokasi kejadian apabila mayat kedua-dua mangsa ditemui.

Turut kelihatan anak perempuan dan isteri Mohd Adnan yang menangis ketika melihat mayat bapa kepada 10 orang anak itu dibawa ke tebing kolam oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.

Difahamkan Mohd Adnan merupakan kontraktor yang melakukan kerja-kerja pembersihan kolam berkenaan.

Sementara itu, Pengarah JBPM Selangor Norazam Khamis berkata mayat Mohd Adnan ditemukan kira-kira lima kilometer dari lokasi bot mereka tenggelam pada 5.12 petang, manakala mayat Hakimi ditemukan kira-kira 10 kilometer dari tempat kejadian pada 6.56 petang.

Norazam berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 2.15 petang.

“Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) menggunakan teknik grappling iron bagi mengesan dua mangsa tersebut dalam kolam takungan dengan kedalaman 30 meter,” katanya.

Menurutnya kedua-dua mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum dibawa ke Hospital Kajang. –AlHijrah Online

Leave a Reply