EMIR QATAR PUJI MALAYSIA ANJUR SIDANG KEMUNCAK KL
DOHA: Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani memuji Malaysia yang menganjurkan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata perkara itu dinyatakan ketika beliau menghadap dan mengadakan pertemuan empat mata dengan Emir Qatar di Amiri Diwan di sini pada Khamis.
Amiri Diwan adalah dewan pemerintahan Negara Qatar. Ia adalah badan berdaulat dan pejabat pentadbiran Emir Qatar.
“Pada pertemuan dengan Emir Qatar, kebanyakan perbincangan tertumpu kepada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur.
“Saya fikir Emir akan datang (ke sidang kemuncak itu), dan memberi banyak sumbangan (idea) melihat kepada cara baginda mentadbir Qatar lebih menumpukan soal pelajaran,” katanya kepada media Malaysia selepas Majlis Makan Malam bersama diaspora Malaysia di Qatar, di sini, malam tadi.
Sidang kemuncak yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) mulai 18 hingga 21 Dis itu antara lain akan mencari jalan penyelesaian baharu terhadap masalah menimpa dunia Islam, dan menyumbang ke arah memperbaiki keadaan umat Islam dan negara-negara Islam.
Ia juga bertujuan untuk membentuk jaringan antara pemimpin Islam, cendekiawan, ulama dan pemikir di seluruh dunia, serta menghidupkan semula peradaban Islam.
Selain Emir Qatar, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan, Perdana Menteri Pakistan Imran Khan dan Presiden Iran Hassan Rouhani dijangka menyertai sidang kemuncak berkenaan.
Ditanya mengenai mesyuarat meja bulat bersama ketua-ketua industri Qatar semalam (Khamis), Dr Mahathir yang dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke negara ini bermula Rabu (11 Dis), berkata pemain industri terkemuka Qatar berminat untuk melabur di Malaysia. — BERNAMA