EMPAT KES BAHARU COVID-19 DILAPORKAN HARI INI

Last Updated on

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan empat lagi kes positif jangkitan COVID-19 di negara ini, menjadikan jumlah keseluruhan 29 kes setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes ke-26 merupakan seorang lelaki berusia 52 tahun dan mempunyai sejarah perjalanan ke Shanghai, China, sekitar pertengahan Januari lalu.

Katanya, lelaki itu mengalami gejala demam dan sakit tekak pada 27 Feb lalu dan telah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar dari sebuah hospital swasta pada hari sama.

“Ujian saringan pengesanan COVID-19 telah dijalankan dan disahkan positif semalam dan telah dimasukkan ke wad isolasi Hospital Sungai Buloh untuk rawatan manakala siasatan punca jangkitan dan pengesanan kontak rapat sedang giat dijalankan,” katanya. dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata kes ke-27 pula merupakan seorang jururawat pelatih wanita berusia 20 tahun dan beliau menjalani latihan sangkutan jangka pendek di hospital swasta yang merawat kes ke-24.

“Semasa aktiviti pengesanan kontak rapat dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah, beliau telah dikenal pasti sebagai salah seorang dari kontak rapat kes berkenaan.

“Pada 21 dan 22 Feb lalu, beliau telah mengendalikan kes terbabit tanpa memakai sebarang peralatan perlindungan diri (PPE) dan pada 27 Feb beliau mengalami gejala batuk dan disahkan positif COVID-19 semalam. Beliau telah dimasukkan ke wad isolasi Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan,” katanya.

Menurutnya, kes ke-28 merupakan seorang lelaki berusia 45 dan merupakan rakan sekerja kepada kes ke-25.

“Beliau bersama-sama dengan kes ke-25 dan seorang lagi rakan sekerja mempunyai sejarah perjalanan ke Milan, Itali, dari 15 hingga 21 Feb. Semasa aktiviti pengesanan kontak rapat dijalankan, beliau telah dikesan dan didapati mempunyai gejala sejak 26 Feb dan ujian COVID-19 disahkan positif pada 29 Feb lalu.

“Beliau telah dimasukkan ke wad isolasi Hospital Sungai Buloh untuk rawatan dan pemantauan selanjutnya,” katanya.  

Dr Nor Hisham berkata kes ke-29 melibatkan wanita berusia 35 tahun yang telah dimasukkan ke sebuah hospital swasta pada 21 Feb.

“Beliau telah ditempatkan di bilik berdua dengan kes ke-24, yang pada ketika itu belum diketahui dijangkiti COVID-19. Pada 25 Feb, beliau dibenarkan pulang ke rumah dan pada 27 Feb, beliau mula rasa tidak sihat namun tidak mendapatkan rawatan.

“Beliau dikenal pasti sebagai kontak rapat kes ke-24 dan disahkan postif COVID-19 semalam dan kini di wad isolasi Hospital Sungai Buloh,” katanya.

Dengan empat kes ini, Dr Noor Hisham berkata jumlah kumulatif COVID-19 dalam negara adalah 29 orang, dengan 22 kes telah sembuh dan dibenarkan discaj manakala tujuh lagi masih menerima rawatan.

Dalam pada itu, satu mesyuarat pengurusan kes disyaki dan pesakit COVID-19 di hospital dan klinik swasta telah diadakan di peringkat kebangsaan hari ini.

Mesyuarat itu mempertingkatkan lagi kefahaman pengamal perubatan swasta kepada situasi COVID-19 terkini serta memastikan pihak pengamal swasta bersedia dengan kesiapsiagaan dan respons dalam menghadapi situasi COVID-19 yang di luar jangkaan, katanya. 

Orang ramai yang ingin maklumat lanjut mengenai COVID-19 boleh menghubungi Infoline Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC) di talian 03-8881 0200 / 03-8881 0600 / 03-8881 0700 atau e-mel ke cprc@moh.gov.my. — BERNAMA

Leave a Reply