PM MUHYIDDIN ZAHIR KESYUKURAN SEJURUS TIBA DI KEDIAMANNYA

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT dan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Kelapan Malaysia.

“I would just say thanks to Allah and YDPA (Yang Di Pertuan Agong) for the appointment. I will issue a special statement in a next few hours,” itu ucapan pertama beliau selepas pelantikannya sejurus tiba di kediamannya di Bukit Damansara di sini kira-kira 12.15 tengah hari.

Ketibaan Muhyiddin yang diiringi isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh para penyokongnya yang menunggu seawal 7.00 pagi. 

Sejurus tiba, Muhyiddin disambut dan dipeluk oleh Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Datuk Seri Redzuan Md Yusof disusuli dengan bacaan doa kesyukuran atas pelantikannya sebagai perdana menteri.

Muhyiddin, yang juga Anggota Parlimen Pagoh, mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada 10.33 pagi ini.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai Perdana Menteri Interim setelah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh pada 24 Feb lepas. — BERNAMA 

Leave a Reply