Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

FAHAMI TUJUAN PINDAAN RUU MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN, ELAK ANDAIAN TIDAK BERASAS

DALAM NEGARA

FAHAMI TUJUAN PINDAAN RUU MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN, ELAK ANDAIAN TIDAK BERASAS

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 merupakan usaha yang diambil oleh kerajaan bertujuan untuk memartabat dan memperkasakan institusi Mufti di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Menerusi pemerkasaan ini, bidang kefatwaan dan pembangunan hukum syarak akan dapat ditadbir secara teratur, telus serta berwibawa ke arah meningkatkan keberkesanan tadbir urus pentadbiran Islam di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, RUU mufti memperuntukkan sembilan Bahagian iaitu Bahagian permulaan, Mufti dan Timbalan Mufti, Jawatankuasa Fatwa, pengeluaran fatwa, penentuan kiblat, Jawatankuasa Falak Syarie, Jawatankuasa Rukyah Hilal, Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam dan perunding akidah dan pelbagai.

“Menerusi RUU Mufti, pengasingan kuasa antara Majlis Agama Islam, Mufti dan Mahkamah Syariah akan kelihatan lebih jelas.

“Pentadbiran keadilan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah dan hukum syarak di bawah bidang kuasa Mufti akan ditadbir oleh akta berasingan,” katanya dalam program Analisis di TV AlHijrah semalam.

Jelas Mohd Na’im ketika ini dalam konteks Wilayah Persekutuan, secara perundangan, Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah- Wilayah Persekutuan) 1993 atau Aka 505 menjadi asas perjalanan pentadbiran Islam di Malaysia.

Beliau memberi contoh, Seksyen 31 Akta 505 memperuntukkan bahawa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bertanggungjawab untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan semua perkara yang berhubungan dengan agama Islam di dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan kecuali perkara-perkara hukum syarak dan yang berhubung dengan pentadbiran keadilan.

Oleh itu terdapat keperluan supaya tiga komponen yang berkaitan dengan pentadbiran hal ehwal Islam, hukum syarak dan pentadbiran keadilan diperuntukkan melalui tiga undang-undang yang berbeza supaya ia lebih tersusun dan setiap undang-undang tersebut dapat memfokuskan perkara yang berada di bawah bidang kuasa masing-masing.

Usaha menggubal RUU Mufti telah bermula seawal tahun 2011 lagi apabila pada waktu itu Jawatankuasa Teknikal Sivil Syarak (di urus setiakan oleh JAKIM) telah memutuskan agar dibuat transformasi perundangan untuk Pejabat Mufti.

Pada 2021, suatu Jawatankuasa Penggubalan RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) telah ditubuhkan pada waktu itu.

“Penubuhan Jawatankuasa ini adalah bertujuan untuk mengkaji dan menggubal suatu Akta yang khusus untuk Mufti.

“Jawatankuasa Penggubalan ini dianggotai oleh wakil daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, JAKIM, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Selangor,” katanya.

Tegas Mohd Na’im RUU Mufti telah melalui suatu proses penggubalan yang teliti dan panjang bagi memastikan suatu RUU yang komprehensif digubal serta teratur dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

Kedudukan Mufti sebagai penasihat kepada Yang di-Pertuan Agong dalam perkara yang berkaitan dengan Hukum Syarak perlu diberi pengiktirafan sewajarnya dan institusi Mufti hendaklah bebas daripada sebarang pengaruh luar dalam membuat fatwa dan menasihati Yang di-Pertuan Agong.

“Kedudukan, kuasa dan peranan Mufti di dalam undang-undang di Malaysia buat masa ini hanya terletak di dalam Akta dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam di negeri-negeri.

“Sebagai contoh di Wilayah-wilayah Persekutuan, perihal Mufti ini hanya diperuntukkan sebanyak 7 seksyen sahaja iaitu di Seksyen 32 hingga 38 Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505).

“Kini peruntukan mufti di RUU Mufti melibatkan 36 seksyen melibatkan perihal pelantikan urusan pentadbiran mufti dan timbalan mufit, penubuhan dan fungsi jawatankuasa fatwa, tatacara dan pentadbiran hal ehwal fatwa,” katanya.

Selain itu antara perkara yang dinyatakan dalam RUU Mufti tersebut ialah penentuan kiblat, penubuhan dan fungsi jawatankuasa rukyah hilal, penetapan awal bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijah, penubuhan dan fungsi jawatankuasa pengawasan pengajaran agama Islam dan kuasa mufti dalam menentukan perkara berhubungan perundingan akidah.

Melalui peruntukan-peruntukan yang disediakan di dalam RUU Mufti itu, maka institusi mufti akan bergerak dengan lebih teratur kerana dipandu dengan peruntukan undang- undang yang lebih jelas.

“Saya sekali lagi ingin menjelaskan iaitu RUU Mufti digubal bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengan Mufti, penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin Syarak serta perkara yang berkaitan di Wilayah-Wilayah Persekutuan sahaja. Ia tidak melibatkan lain-lain negeri.

“Jadi masyarakat bukan Islam tidak perlu membuat apa-apa andaian yang tidak berasakan fakta. Pelembagaan Persekutuan tetap menjadi Undang-Undang tertinggi negara,” katanya. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading