FESTIVAL ISLAM DAN HALAL ANTARABANGSA JOHOR 2022 BERMULA 29 SEPTEMBER

JOHOR BAHRU: Festival Islam dan Halal Antarabangsa Johor (FIJO) meneruskan penganjurannya tahun ini selepas kejayaan edisi lepas (2019) yang telah berjaya merancakkan ekonomi negeri itu.

FIJO 2022 akan diadakan bermula 29 September sehingga 2 Oktober di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru.

Ekspo perdagangan 4 hari bermula jam 10 pagi hingga 10 malam itu menyediakan platform terbaik bagi pengusaha dan usahawan produk halal serta produk patuh syariah tempatan mahupun antarabangsa untuk memasarkan produk mereka.

FIJO menyasarkan untuk meletakkan Johor sebagai hab halal di rantau ini sekaligus memenuhi permintaan pasaran halal yang semakin meningkat.

Dalam pada itu, kerajaan negeri menyasarkan catatan jualan berjumlah RM20 juta ringit menerusi FIJO 2022 dengan 200,000 pengunjung.

Pihak penganjur turut menyediakan 300 lot pempamer untuk usahawan tempatan dan luar negara.

FIJO 2022, melibatkan lapan kluster pempamer iaitu teknologi maklumat dan telekomunikasi; agensi kerajaan; teknologi makanan; perbankan dan e-dagang ; kilang dan jentera; farmaseutikal kosmetik dan fesyen ; pelancongan serta Pendidikan.

Festival tersebut dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Johor melalui Perbadanan Usahawan Johor dan Warisan Advertising.

TV Alhijrah akan turut menjadi pempamer pada festival tersebut dengan beberapa aktiviti menarik disediakan stesen televisyen Islam itu.

Pada penganjuran 2019, FIJO Berjaya mencatat jualan sebanyak RM7 juta dengan 90,000 pengunjung. — AlHijrah Online

Leave a Reply