FIRMA GUAMAN SYARIE BOLEH MOHON UNTUK BEROPERASI KETIKA PPN

KUALA LUMPUR: Peguam syarie di seluruh negara boleh mengemukakan permohonan bagi pengoperasian pejabat atau firma guaman syarie sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, permohonan boleh dibuat melalui sistem Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) – COVID-19 Intelligent Management System (CIMS).

“Permohonan tersebut akan diuruskan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi tujuan pertimbangan untuk kelulusan pengoperasian, tertakluk kepada SOP yang telah diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bertarikh 15 Julai 2021.

“Ia juga tertakluk kepada negeri-negeri yang berada dalam fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya permohonan boleh dibuat melalui Kluster Perundangan dan Kehakiman Syariah dan Sektor Guaman Syarie yang mempunyai empat subsektor iaitu Khidmat Nasihat Profesional Guaman Syarie, Perkhidmatan Guaman Syariah, Perkhidmatan Khidmat Nasihat dan Peguam Syarie bagi tuntutan Harta Pusaka, Hibah dan Wasiat serta Perkhidmatan Perunding Keluarga Islam.

Beliau berharap peluang itu dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh semua peguam syarie di seluruh negara dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Suka juga diingatkan adalah menjadi tanggungjawab kita bersama terutama peguam syarie untuk mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan oleh MKN seterusnya dapat mengelakkan berlaku penularan wabak COVID-19 ini semasa pengoperasian pejabat atau firma guaman Syarie.

“Gunakanlah pendekatan terbaik sebagaimana yang telah ditetapkan oleh MKN bagi pengurusan kes di Mahkamah Syariah,” katanya. — AlHijrah Online

Leave a Reply