GARAM HALUS ATAU GARAM 20KG ATAU KURANG PERLU DITAMBAH IODIN SEBELUM DIJUAL

PUTRAJAYA: Bermula 30 September ini, semua garam halus atau garam dengan berat 20 kilogram atau kurang, diwajibkan supaya ditambah dengan iodin sebelum boleh dijual di Malaysia.

Peraturan baharu ini dikuatkuasakan kerana 48.2% kanak-kanak berumur lapan hingga 10 tahun kekurangan iodin.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, pindaan ini susulan dapatan Tinjauan Gangguan Akibat Kekurangan Iodin (IDD) Kebangsaan yang menunjukkan 48.2 peratus kanak-kanak pada umur berkenaan mengalami masalah kekurangan iodin.

“2.1 peratus kanak-kanak mengalami masalah goiter (pembengkakan luar biasa pada kelenjar tiroid, di bahagian leher).

“Bagi tinjauan melibatkan wanita hamil dan murid sekolah, pengambilan iodin juga tidak mencapai paras optimum”, katanya.

Tambahan Dr Noor Hisham, pelaksanaan Pengiodinan Secara Universal di Malaysia (USI) boleh membantu meningkatkan pengambilan iodin dalam masyarakat memandangkan garam diambil sebagai bahan asas dalam makanan.

Orang ramai tidak perlu risau dengan penambahan iodin ke dalam garam kerana ia tidak memberi kesan kepada kualiti makanan yang dihasilkan.

Bagaimanapun, pengguna juga diingatkan bahawa pengambilan garam tidak perlu ditingkatkan kerana garam secara berlebihan di dalam makanan pula boleh menjurus kepada penyakit tidak berjangkit yang lain misalnya hipertensi (darah tinggi).–AlHijrah Online

Leave a Reply