INSPEKTOR POLIS MENGAKU TERIMA RASUAH

IPOH: Seorang inspektor polis didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini selepas mengaku bersalah menerima suapan RM3,000 enam tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, Sahrol Zaman Mohd Adom, 38, didakwa menerima wang tunai RM3,000 daripada seorang individu menerusi mesin deposit tunai di Maybank cawangan Silibin, pada 14 Mei 2014 kira-kira 12.01 tengah hari.
Sahrol ketika itu bertugas sebagai pengawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh didakwa menerima suapan tersebut yang ada kena mengena dengan siasatannya terhadap satu kes kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Hakim S. Indra Nehru menjatuhkan hukuman denda RM6,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayar denda.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan.
Sementara itu, Sahrol mengaku tidak bersalah terhadap tiga lagi tuduhan menerima suapan dengan jumlah keseluruhan RM3,000 pada 8 Mei 2014.
Tertuduh didakwa menerima RM1,000 dan RM500 masing-masing pada 2.10 petang dan 5 petang di ‘C Team’ IPD Ipoh serta RM1,500 melalui pindahan wang telegrafik di Maybank cawangan Kuala Pilah, Negeri Sembilan kira-kira 6.49 petang yang kesemuanya berkait kes sama di bawah siasatannya.
Ketiga-tiga pertuduhan menyaksikan pesalah berdepan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Shahrullah meminta mahkamah melepaskan dan membebaskan Sahrol daripada ketiga-tiga pertuduhan serta mengarahkan wang suapan RM6,000 yang diterima oleh tertuduh daripada keempat-empat pertuduhan dilucut hak dan diserahkan kepada kerajaan selepas mendengar rayuan daripada peguam tertuduh.—AlHijrah Online/ Hamimah Hamid