RASUAH RM8,000: PENJAWAT AWAM MENGAKU TIDAK BERSALAH

IPOH: Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas dua tuduhan menerima suapan RM8,000 tiga tahun lalu.

Tertuduh, Shaikhul Athar Abdullah, 37 tahun membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Shaikhul Athar Abdullah mengaku tidak bersalah atas tuduhan terima rasuah RM8,000

Mengikut pertuduhan, Pembantu Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu telah secara rasuah menerima suapan wang tunai berjumlah RM8,000 daripada seorang peniaga.

Ia sebagai upah menutup kes ke atas lelaki terbabit yang disiasat pada 2014 atas kesalahan menjual arak tiruan di dua buah premis miliknya di Jalan Sultan Iskandar Shah, Ipoh.

Tertuduh didakwa menerima suapan itu di dalam kereta Mercedes Benz di kawasan parkir sebuah restoran di Ipoh, pukul 10.30 malam, 30 Mei 2017.

Pada prosiding sama, Shaikhul Athar turut didakwa menerima suapan RM8,000 daripada lelaki sama atas kesalahan serupa di Greentown, Ipoh pada pukul 8.53 malam, 25 Mei 2017.

Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di bawah Seksyen 16 (A) (B) dan Seksyen 17 (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Amirul Ridzuan Haniff.

Mahkamah menetapkan 4 November ini sebutan semula kes.- AlHijrah Online / Hamimah Hamid

Leave a Reply