Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

GAZA ALAMI PENGEBOMAN PALING INTENSIF SEJAK PERANG DUNIA KEDUA – UNRWA

DUNIA

GAZA ALAMI PENGEBOMAN PALING INTENSIF SEJAK PERANG DUNIA KEDUA – UNRWA

Dalam satu kenyataan sempena Hari Solidariti Antarabangsa bersama Rakyat Palestin, UNRWA menekankan kesengsaraan pelarian Palestin, dengan mengatakan bahawa ia kekal sebagai krisis pelarian yang paling lama tidak dapat diselesaikan di dunia.

Gambar fail (AFP)

ISTANBUL: Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu  untuk  Pelarian  Palestin di Asia Barat (UNRWA) pada Jumaat menyatakan bahawa Gaza kini mengalami pengeboman paling intensif terhadap penduduk awam sejak Perang Dunia Kedua, lapor Agensi Anadolu.

Dalam satu kenyataan sempena Hari Solidariti Antarabangsa bersama Rakyat Palestin, UNRWA menekankan “kesengsaraan pelarian Palestin,” dengan mengatakan bahawa ia “kekal sebagai krisis pelarian yang paling lama tidak dapat diselesaikan di dunia.”

“Pada tahun lepas, Gaza telah mengalami pengeboman paling intensif terhadap penduduk awam sejak Perang Dunia Kedua,” katanya. 

Hari Solidariti Antarabangsa bersama Rakyat Palestin, yang diiktiraf PBB sejak 1977, diwujudkan melalui Resolusi 181 yang diluluskan Perhimpunan Agung PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) pada 29 Nov 1947. Resolusi itu menyeru pembahagian Palestin kepada negara “Arab” dan “Yahudi.”

Perang genosid Israel di Semenanjung Gaza sejak Oktober tahun lepas telah mengorbankan lebih 44,300 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 104,900 yang lain.

Tahun kedua genosid di Gaza telah mencetuskan kecaman antarabangsa yang semakin meningkat, dengan pegawai dan institusi menyifatkan serangan serta sekatan penghantaran bantuan sebagai usaha yang disengajakan untuk menghapuskan penduduk.

Minggu lepas, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga menghadapi kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas serangan tenteranya di Gaza. –AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading