GENG PLASTIK HITAM: PENJUAL TURUT DIKENAKAN TINDAKAN UNDANG-UNDANG

Gambar hiasan.

PUTRAJAYA: Pemantauan oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan digiatkan bagi membanteras aktiviti geng ‘plastik hitam’ sepanjang bulan Ramadan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, pemantauan akan dijalankan secara berkala mengikut jadual ditetapkan serta melakukan operasi berdasarkan aduan yang diterima.

Tegas Ahmad Marzuk, tindakan juga akan dikenakan kepada pemilik premis perniagaan atau restoran yang menjual makanan kepada geng ‘plastik hitam’.

“Tertangkap, pastinya tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang,” katanya.

Beliau mengulas mengenai tindakan pihak berkuasa bagi membanteras kegiatan segelintir individu yang tidak puasa di bulan Ramadan.

Berdasarkan Seksyen 15 Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997, menjual atau secara terbuka makan dan minum atau seumpamanya boleh dikenakan denda RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, individu berkenaan boleh didenda sehingga RM2,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali.–AlHijrah Online

Leave a Reply