ARAB SAUDI-MALAYSIA KUKUH KERJASAMA, BERI KHIDMAT TERBAIK KEPADA JEMAAH HAJI DAN UMRAH

MADINAH: Hubungan kerjasama diplomatik dua hala Arab Saudi-Malaysia akan terus diperkukuh khususnya untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada jemaah haji dan umrah.

Komitmen itu dizahirkan Gabenor Madinah, Putera Faisal bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud ketika pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Pertemuan yang berlangung di Madinah itu dibuat atas jemputan Diraja.

Dalam pertemuan itu, Zulkifli berkata beliau telah menyampaikan ucapan penghargaan dan terima kasih atas usaha dan khidmat Khadimul Haramain al-Syarifain atau Penjaga Dua Masjid Suci dan Kerajaan Arab Saudi kepada dunia Islam dan umat Islam keseluruhannya.

“Dalam masa sama saya turut berkongsi beberapa noktah penting hasil pertemuan dengan Setiausaha Agung Liga Dunia Islam, Dr. Mohammed bin Abdulkarim al-Issa yang bakal membawa manfaat yang besar khususnya kepada umat Islam di Malaysia,” katanya..

Ketika lawatan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada bulan lalu, Malaysia menjadi negara pertama disenaraikan dalam inisiatif Perkhidmatan Jalan Makkah.

Perkhidmatan yang ditukar status daripada projek rintis kepada ciri tetap itu akan memudahkan proses prapelepasan jemaah haji dan umrah dari Malaysia. — AlHijrah Online

Leave a Reply