WAKTU OPERASI KEDAI MAKAN DILANJUTKAN HINGGA 6 PAGI SEPANJANG BULAN RAMADAN

PUTRAJAYA: Kerajaan membenarkan waktu operasi kedai makan atau restoran serta perkhidmatan penghantaran makanan dilanjutkan sehingga 6 pagi, sepanjang bulan Ramadan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran tersebut hanya tertakluk dalam bulan Ramadan sahaja atas sebab keperluan untuk bersahur, bagi golongan bujang.

Bagaimanapun, keputusan tersebut tertakluk kepada syarat lesen yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri.

“Kerajaan memahami kesukaran golongan khususnya bujang untuk mendapatkan makanan untuk bersahur.

“Kebenaran operasi sehingga jam 6 pagi ini hanya tertakluk sepanjang Ramadan saja,” katanya.

Sementara itu, kebenaran penganjuran majlis berbuka puasa seperti bufet Ramadan di hotel, restoran dan lain-lain premis juga dibenarkan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Tambahnya, kapasiti tetamu juga perlu mengikut kebenaran ditetapkan kerajaan selain menyediakan pramusaji untuk juadah bufet.

“Penjarakan sosial dan susunan meja sejauh dua meter setiap satu perlu dipatuhi selain memerlukan pemantau untuk memastikan tetamu mematuhi SOP.

“Kerajaan juga memahami terdapat penganjuran majlis berbuka puasa anjuran kementerian dan syarikat namun pematuhan SOP ketat perlu dipatuhi,” katanya.—AlHijrah Online

Leave a Reply