DISKAUN 50 PERATUS SAMAN TRAFIK DILANJUTKAN SEHINGGA 15 APRIL

KUALA LUMPUR: Tawaran diskaun 50 peratus bagi saman trafik menerusi aplikasi ‘MyBayar Saman’ dilanjutkan selama empat hari iaitu sehingga 15 April.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, lebih RM73 juta bayaran saman berjaya dikutip melalui aplikasi tersebut dalam masa 18 hari sehingga semalam.

Tambahnya, sebanyak 659,998 saman yang dibayar sejak tawaran berkenaan dilancarkan pada 25 Mac lalu.

“Atas permintaan dan sambutan yang menggalakkan daripada orang awam, JSPT melanjutkan empat hari tawaran diskaun 50 peratus sehingga Khamis yang boleh dibayar menerusi MyBayar Saman.

“Seramai 708,030 pengguna juga telah mendaftar melalui aplikasi mudah alih tersebut,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengumumkan diskaun saman sehingga 50 peratus jika pesalah trafik membayarnya melalui portal atau aplikasi ‘MyBayar Saman’.

Tawaran diskaun yang dilancarkan bersempena Sambutan Hari Peringatan Polis ke- 214 iaitu pada 25 Mac lalu.

Semua jenis kompaun saman diberikan diskaun 50 peratus kecuali enam kesalahan utama iaitu memotong garis kembar, memandu di lorong kecemasan, memandu melebihi had laju ditetapkan di lebuh raya, menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan tidak berhenti di lampu isyarat.

Pendaftaran MyBayar Saman boleh dibuat di https://mybayar.rmp.gov.my atau daftar di aplikasi MyBayar Saman yang boleh dimuat turun di Google Playstore atau Apple Store.—AlHijrah Online

Leave a Reply