
GAZA: Hanya beberapa jam selepas Hamas bersetuju untuk melucutkan senjata, Israel kembali melancarkan serangan di serata Gaza sehingga meragut dua nyawa rakyat Palestin.
Seorang mangsa terbunuh dalam serangan udara di Jalan Salah al-Din , manakala seorang lagi mangsa terkorban akibat serangan dron di kejiranan Sabra.
Selain angka korban, 10 penduduk Palestin mengalami kecederaan dalam gelombang serangan yang menyasarkan beberapa kawasan penempatan dan rumah ibadat.
Insiden berdarah ini berlaku sejurus selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan kesepakatan bagi pelucutan senjata sepenuhnya melibatkan hamas serta kumpulan bersenjata lain di gaza.
Meskipun persetujuan mengenai pelan pelucutan senjata Hamas telah diumumkan secara rasmi, siri serangan terbaharu ini mencetuskan ketegangan baharu serta persoalan berhubung komitmen genjatan senjata di kawasan berkenaan.
Hamas pula bertegas akan melucutkan senjata hanya jika Israel berundur sepenuhnya dari Gaza.
Israel pula sebaliknya mengugut bahawa mereka tidak akan berundur “Seorang pegawai kanan Israel menyatakan bahawa tentera mereka tidak akan berundur dari kedudukan semasa di Gaza tanpa ‘pelucutan senjata secara nyata’ oleh kumpulan bersenjata Palestin, Hamas, di wilayah tersebut.–AlhijrahOnline