Hantar segera pakar pemakanan ke Kuala Koh

KUALA LUMPUR – Pakar Kesihatan, Dr Zubaidi Ahmad menyarankan agar kerajaan segera menghantar pakar pemakanan ke kawasan Orang Asli di Kuala Koh, Gua Musang bagi mengekang penularan penyakit radang paru-paru atau Pneumonia dalam kalangan komuniti itu.
Ini berikutan pengamatan beliau tentang kemungkinan tahap nutrisi yang rendah menjadi penyebab mudahnya penularan penyakit Pneumonia dalam kalangan Orang Asli di kawasan berkenaan.
Selain itu beliau juga menjangka wujudnya jangkitan kuman yang menyebabkan daya tahan mereka cepat menjadi lemah dan rendah.
Menurut beliau, Pneumonia juga berlaku di bandar, namun tidak kerap dan jarang berlaku kerana daya tahan penduduk bandar tinggi.
“Jadi saya fikir Orang Asli di kawasan berkenaan kemungkinan daya tahan mereka rendah disebabkan oleh gaya pemakanan yang tidak seimbang, tidak sihat jadi mungkin mereka tidak dapat cukup nutrisi walaupun mereka makan tetapi mereka tidak cukup nutrisi yang seimbang, sebab itulah pakar pemakanan perlu segera melihat perkara ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tragedi kematian akibat radang paru-paru dalam kalangan Orang Asli di Sungai Koh.
Mengulas lanjut, Dr Zubaidi juga berpendapat punca berlakunya kejadian ini berkemungkinan kerana kekurangan pengetahuan mereka tentang gejala penyakit Pneumonia, sehingga tidak menyangka mereka sedang diserang penyakit itu.
Lokasi yang mungkin berjauhan dari pusat kesihatan juga merupakan faktor mereka tidak mendapatkan rawatan, atau merawat sendiri penyakit tersebut dengan cara konvensional tanpa mengetahui puncanya sehingga menyebabkan kematian.
Beliau yang sangat terkejut dengan jumlah kematian itu berharap perkara ini dipandang serius oleh semua pihak kerana sepatutnya perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku pada zaman sekarang dengan adanya perubatan moden seperti antibiotik.
“Perkara ini boleh dikawal, mungkin perkara ini kita terlepas pandang,” katanya lagi.