Himpunan LGBT disiasat

KUALA LUMPUR – Polis membuka siasatan mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 41 Akta Hasutan 1948 berhubung himpunan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang tidak mendapat kebenaran polis di ibu kota pada Sabtu lepas.

Menurut Timbalan Ketua Polis Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah, terdapat tujuh individu yang dikenalpasti memberi ucapan dalam perhimpunan tersebut.

Bagaimanapun buat masa ini tiga daripada mereka terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki telah dikesan dan akan hadir dalam masa terdekat untuk memberi keterangan kepada polis.

“Siasatan masih dijalankan dan kes ini telah dirujuk kepada Bahagian D5 (Pendakwaan/Undang-undang) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur,” katanya, menurut laporan Sinar Harian hari ini.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, orang ramai perlu memahami bahawa berkumpul secara beramai-ramai seumpama itu akan menjejaskan aktiviti dan pergerakan masyarakat sekitar dan gangguan lalu lintas.

Noor Rashid berkata, orang ramai seharusnya mengikut undang-undang ditetapkan, walaupun mendakwa ada hak membawa isu dalam himpunan berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan himpunan yang diadakan bersempena Hari Wanita Sedunia dicemari dengan kehadiran penyokong LGBT seramai 1,000 peserta terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO) seperti Women Aid Organisation (WAO), Sisters in Islam (SIS), aktivis dan pelajar.

Leave a Reply