KUALA LUMPUR: Ibu kepada penyanyi, Faizal Tahir dan penyampai radio Zayan, Anas Tahir, Muzlipah Aishah Pawanteh meninggal dunia pagi tadi.
Dilaporkan Allahyarham mengembuskan nafas terakhir pada usianya 71 tahun di Hospital Al-Sultan Abdullah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Puncak Alam, Selangor kira-kira jam 8.54 pagi.
Allahyarhamah sebelum ini telah dimasukkan ke hospital dipercayai akibat penyakit kanser pankreas yang dihidapinya.
“Kalau ikutkan emak sudah nazak sejak Jumaat lalu. Walaupun dalam keadaan nazak, emak masih cuba untuk kuatkan diri.
“Pada awal pagi Sabtu, sekitar jam 3 pagi keadaan kesihatan emak semakin merosot. Arwah menghembuskan nafas terakhir di sisi anak-anak kira-kira jam 8.54 pagi ini,” kata Anas seperti dilapor BH Online.
Jenazah akan dibawa ke Masjid Puncak Alam untuk disolatkan kemudian akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Puncak Alam selepas solat Zuhur.
Allahyarhamah Muzlipah meninggalkan tujuh anak dan 21 cucu.–AlHijrah Online