IKLAN JUDI RAYA: POLIS BURU PENERBIT SERTA PELAKON

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengesan penerbit serta pelakon-pelakon yang terlibat dalam pembikinan satu video iklan Hari Raya yang mempromosikan aktiviti perjudian, seperti yang tular di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, siasatan mendapati intipati video tersebut secara jelas melanggar undang-undang serta boleh mendatangkan kegusaran awam.

“Satu laporan polis telah dibuat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk menyiasat asal usul video ini yang akan menjurus kepada penerbit dan pelakon-pelakon yang terlibat dalam penghasilannya.

“Mereka akan dikesan serta dipanggil untuk memberi keterangan dan kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka.

“Orang ramai diingatkan agar tidak berkongsi atau menyebarkan video ini melalui sosial media bagi mengelakkan kegusaran awam,” katanya.

Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) turut bertindak secara proaktif untuk menyekat video iklan tersebut di semua platform media sosial.

“MCMC memaklumkan pihaknya telah berkomunikasi dengan pihak penyedia platfrom media seperti Facebook, Youtube, dan Twitter untuk menurunkan kandungan berkenaan mengikut terma perkhidmatan serta piawaian komuniti yang ditetapkan pihak mereka, yang berpangkalan di luar negara,” dalam kenyataan yang dikeluarkan MCMC.

Terdahulu, tular sebuah video iklan Hari Raya Aidilfitri yang mempromosikan aktiviti perjudian secara dalam talian yang mengundangkan kemarahan dan kecaman dari pengguna laman sosial.

Dalam video tersebut, beberapa pelakon dipercayai beragama Islam tampil dengan imej bertudung, lengkap berbaju kurung dan berbaju Melayu beraksi sambil menyanyi.–AlHijrah Online

Leave a Reply