ISLAM AGAMA PERSEKUTUAN, HALANGAN PUASA TIDAK SEPATUTNYA BERLAKU

KUALA LUMPUR: Halangan berpuasa untuk umat Islam tidak sepatutnya berlaku di Malaysia yang Perlembagaan Persekutuannya memperuntukkan Islam sebagai agama persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kebebasan beragama serta hak seseorang mengamalkan kepercayaannya juga jelas dinyatakan di dalam perlembagaan negara.

“Memang tidak sepatutnya berlaku di sebuah negara di Malaysia di mana Islam sebagai agama persekutuan dan sudah sekian lama kebebasan beragama ini telah diamalkan di Malaysia.

“Hak ini telah termatub di dalam perlembagaan dan bukan semata-mata untuk Islam tetapi juga hak kepercayaan agama-agama lain selagi ia tidak menganggu ketenteraman dan tidak menyusahkan serta tidak membawa kepada mudarat mana-mana pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu dua pengawal peribadi yang dipukul dengan rotan dan diacu pistol oleh majikan mereka yang didakwa tidak suka kedua-duanya berpuasa.

Kata Zulkifli, beliau berharap isu halangan beribadah seperti itu kali terakhir berlaku dan umat Islam di Malaysia tidak dihalang untuk melakukan ibadah seperti solat fardu, solat Jumaat, berpuasa, menunaikan ibadah haji dan umrah, membayar zakat atau ibadat lain yang telah difardukan atau disyariatkan dalam agama Islam.

Tambahnya beliau sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar rakyat di Malaysia dapat hidup aman dan damai dan tidak gusar dalam mengamalkan agama atau pegangan masing-masing.

Susulan laporan polis kejadian pukul kerana berpuasa itu, empat lelaki telah direman dengan tiga daripadanya selama lima hari manakala seorang lagi selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Klang. — AlHijrah Online

Leave a Reply