INGKAR PKPP, HAMPIR 100 PREMIS MAKANAN DIARAH TUTUP

KUALA TERENGGANU: Hampir 100 premis makanan di Terengganu diarah tutup kerana gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) selain beroperasi dalam keadaan yang kotor.
Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata daripada jumlah itu daerah Kemaman merekodkan jumlah penutupan premis tertinggi iaitu 47 kes.
Kesemua kesalahan dikesan bermula Jun selepas kerajaan menguatkuasakan PKPP.
“Tempoh ditutup tu lebih kurang ada yang tiga hari ada yang tujuh hari bergantung kepada keterukan premis tersebut.
“Kalau kita tengok premis itu teruk contohnya bukan sekadar tidak ada SOP atau tidak patuh tapi ada premis yang memang sangat kotor di belakang terutama tempat-tempat penyediaan makanan. Itu kita tutup 7 hari untuk kerja-kerja pembersihan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan pemantauan Ops Patuh Khas PKPP di sekitar Kuala Terengganu hari ini.
Nor Azimi berkata sebanyak 3,317 premis makanan juga telah diperiksa bermula 10 Jun lalu.
Ujarnya sepanjang tempoh itu, 107 notis telah dikeluarkan melibatkan kompaun sebanyak RM107,000.
Pihaknya akan meneruskan operasi ini bagi memastikan kesemua premis dapat mematuhi SOP yang telah digariskan dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19. — AlHijrah Online