Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

IPR BANTU PESERTA RAIH PENDAPATAN MINIMUM RM2,000 SEBULAN – RAFIZI

DALAM NEGARA

IPR BANTU PESERTA RAIH PENDAPATAN MINIMUM RM2,000 SEBULAN – RAFIZI

Kerajaan menyasarkan peserta Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) terdiri daripada golongan miskin tegar, miskin dan B40 berupaya menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli (dua,kiri) melihat Vending Machine Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) selepas Majlis Pelancaran IPR di LRT Cempaka hari ini. –fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan peserta Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) terdiri daripada golongan miskin tegar, miskin dan B40 berupaya menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Katanya, IPR dengan sasaran 100,000 peserta itu bertujuan meningkatkan pendapatan tiga golongan tersebut dengan melibatkan kerjasama kerajaan, rakyat dan rakan strategik, sekali gus membantu mereka keluar daripada garis kemiskinan yang ditetapkan pada RM1,900 sebulan.

“Usahawan tani, contohnya, mereka akan mula merasai pendapatan itu selepas hasil tuaian pertama tanaman mereka tetapi dalam tempoh menunggu hasil tuaian itu, kerajaan akan memberi elaun bulanan sebanyak RM500.

“Semua bantuan ini kita sudah ambil kira selama 24 bulan, termasuklah dari segi penyediaan tapak pertanian, infrastruktur, kelengkapan dan latihan,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran IPR di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Cempaka, Ampang, dekat sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

IPR merangkumi tiga model iaitu Usahawan Tani (INTAN),  Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN) yang diwujudkan untuk menyelesaikan masalah ekonomi harian rakyat.

Di bawah INTAN, Rafizi, berkata kerajaan persekutuan akan menyediakan 800 ekar (323.7 hektar) tanah sebagai permulaan untuk diusahakan oleh peserta usahawan tani  sebelum diperluaskan kepada 5,000 ekar (2023.4 hektar) menerusi kerjasama daripada kerajaan negeri.

“Saya yakin kerajaan negeri akan menyambut baik inisiatif ini kerana dalam membantu mengatasi masalah bekalan makanan setempat, ia juga mewujudkan peluang pekerjaan di peringkat setempat terutama di negeri-negeri yang banyak berlakunya migrasi atau perpindahan penduduk ke bandar,” katanya.

Justeru, katanya, beliau akan berjumpa dengan setiap Menteri Besar dan Ketua Menteri supaya mereka memperuntukkan tanah di bawah kerajaan negeri untuk pelaksanaan program ini di seluruh negara. –AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading