ISU SURAT MATI: BILA MANUSIA MULA MENJADI ROBOT
Komentar Oleh Syed Azwan Syed Ali
“Kalau ada surat mati, baru boleh buat pengeluaran,” itu jawapan seorang pegawai sebuah bank di Bangi kepada seorang bapa yang ingin mengeluarkan simpanan anak sulungnya yang terlantar sakit.
Allahu, terkilan penulis apabila mendapat tahu mengenai kisah Osman Md Ariff Hussain yang dilaporkan Berita AlHijrah pada hari pertama tahun 2020 semalam.
Kisah ini bukanlah sesuatu yang dibanggakan untuk 2020 yang suatu ketika dulu tahun impian untuk kita bergelar negara maju.
Belum pun reda kisah seorang pesakit kanser yang terpaksa dibawa ke kaunter KWSP menggunakan stretcher di Johor Bahru semata-mata untuk membuat pengesahan identiti bagi mengeluarkan simpanannya, kini timbul pula insiden yang menduga kesabaran kita semua.
Kita ini ada di mana sebenarnya atau tahun berapa sekarang ini? Ini tahun 1920-an atau tahun 2020 yang mana semua sepatutnya maju dan terkedepan.
Saat menonton kisah Osman Md Ariff dan anak sulungnya, Baidillah di Berita AlHijrah semalam, penulis merasa amat sedih. Dada ini terasa dihentak dengan kekesalan kerana penulis juga seorang bapa.
Saat melihat anak kecil Baidillah mendoakan bapanya itu cepat-cepat sembuh, sungguh menyentuh hati. Hanya yang tidak punya hati tidak terkesan dengan situasi itu apatah lagi anak pesakit ketumbuhan pankreas itu, menjejakkan kaki pertama kali ke sekolah hari ini.
Apakah kita semua tidak lagi punya hati dan mengutamakan kebendaan dalam hidup? Di mana ihsan kita sebagai manusia beragama dan adakah prosedur operasi standard (SOP) di institusi perbankan itu terlalu sempit sifatnya, sehingga tiada budi bicara dan ihsan.
Persoalan lebih penting lagi, sekiranya SOP itu terlalu ketat sekalipun sepertimana pengesahan identiti bagi sebarang transaksi kewangan perlu dilakukan secara face to face, adakah kita ini robot yang tiada otak?
Ini bukan bererti penulis marah, tetapi menghantar mesej jelas kepada pihak terbabit bahawa kita semua ini adalah manusia yang mempunyai pertimbangan dan ruang untuk mencari penyelesaian dengan bijak.
Kes malang yang menimpa bapa kepada Baidillah ini dibawa ke perhatian Editorial Berita AlHijrah oleh pembaca berita kami, Wan Kamaruddin Wan Ibrahim. Susulan itu TV AlHijrah menghantar wartawan, Khadizah Faisal dan videographer untuk membantu sedaya mungkin.

Malah Wan Kamaruddin sendiri turun ke rumah Osman Md Ariff di Putrajaya untuk liputan berita ini.
Sejak semalam, pihak kami di TV AlHijrah menerima panggilan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mendapatkan maklumat mengenai bank terbabit, pun begitu kami membuat keputusan untuk tidak mendedahkan maklumat itu terlebih dahulu.
Kesemua ini untuk memberi ruang kepada pihak berkenaan untuk mencari penyelesaian. Peranan media bukan mencari kesalahan atau menghentam tapi menjadi suara rakyat dan itu apa yang kami lakukan!
Difahamkan, pihak bank akan menyelesaikan isu ini dengan segera dan liputan susulan mengenai kes ini akan kami paparkan jam 8 malam nanti di TV AlHijrah secara langsung di saluran 114 dan Facebook Live TV AlHijrah.

Osman menjelaskan beliau berulang-alik ke cawangan bank terkemuka itu sejak hujung 2018, namun sering hampa dengan pelbagai alasan.
Beliau mendakwa pihak bank dengan tegasnya memerlukan pengesahan walaupun dengan percakapan sehingga pegawai bank terbabit didakwa berkata, hanya dengan surat mati baru pengeluaran boleh dilakukan.
“Kalau surat mati dah tak guna, sebab saya nak pakai duit,” kata Osman menjelaskan wang itu nanti akan digunakan untuk kos perubatan dan rawatan serta menjaga kebajikan anak sulungnya yang terlantar sakit sejak menjalani pembedahan ketumbuhan pankreas.
Kita semua sedar pihak bank mempunyai prosedur dalam hal ini tetapi kenapa tidak menggunakan pertimbangan kemanusiaan dalam kes terpencil menimpa keluarga malang ini.
Sekiranya keluarga terbabit sudah beberapa kali berurusan dengan pihak bank, kenapa tidak dihantar pegawai penyiasat untuk turun padang melawat rumah pesakit yang terlantar itu.
Di mana saki baki kemanusiaan yang ada pada kalian? Ingat kita bukan robot walaupun tahun 2020 ini, tahun yang satu ketika dulunya kita mendambakan kemajuan dengan teknologi robotik, kereta terbang atau artificial intellegence menggantikan manusia.

Penulis harap isu ini akan selesai secepat mungkin dan pihak terbabit belajar dari kesilapan pegawainya yang mungkin terkhilaf. Pun begitu, perlu ditegaskan di sini kita semua mempunyai akal untuk berfikir dan hati untuk melihat mereka memerlukan dengan ihsan.
Jika pihak terbabit mempunyai masalah memperkemaskan SOP, mereka boleh belajar dari badan-badan zakat negeri yang mempunyai skuad asnaf yang turun menyiasat dan mencari golongan sasar. Atau boleh saja bekerjasama dengan berpuluh-puluh badan bukan kerajaan (NGO) yang sedia membantu.
SOP bukan kitab suci yang turun dari langit, tak boleh diubah. Ingat kita manusia, bukan robot! — AlHijrah Online
Penulis adalah Editor Berita dan Penerbit AlHijrah Media Corporation.