JAKIM, TV ALHIJRAH KERJASAMA PERJELAS DASAR RAHMAH

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan bekerjasama dengan AlHijrah Media Corporation (TV AlHijrah) untuk menjelaskan dasar pentadbiran kerajaan RAHMAH melalui pelaksanaan program-program agensi agama itu di seluruh negara.

Melalui kerjasama itu TV AlHijrah akan membantu mempromosikan program turun padang JAKIM di peringkat masyarakat melalui platform medianya, termasuk televisyen dan digital.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Paimuzi Yahya berkata kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama dalam menyampaikan dan menjelaskan dasar pentadbiran kerajaan itu kepada rakyat.

Katanya, langkah itu sejajar dengan fungsi JAKIM untuk meningkatkan kefahaman rakyat mengenai dasar Rahmatan Lil Alamin (RLA).

“JAKIM akan memperbanyakkan program turun padang untuk tingkat kefahaman rakyat tentang dasar Rahmatan Lil Alamin.

“Kita mahu masyarakat membudayakan nilai-nilai yang ada dalam Islam,” katanya kepada AlHijrah Online selepas menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris dan pengurusan tertinggi stesen TV Islamik itu di pejabatnya di sini hari ini.

Paimuzi dilantik sebagai Ketua Pengarah JAKIM menggantikan Datuk Mohamad Nordin Ibrahim yang bersara dan pengumuman pelantikan itu dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa pada perhimpunan bulanan agensi-agensi agama pada 13 Januari lalu.

Namanzee dalam pertemuan sebelum itu menyatakan komitmen TV AlHijrah untuk membantu JAKIM, termasuk dalam berdepan isu semasa dihadapi agensi-agensi agama bagi memberikan maklumat tepat kepada rakyat.

Mengulas mengenai tuduhan JAKIM menerima bajet besar dari kerajaan, Paimuzi berkata isu terbabit sering dimainkan pihak berkenaan sedangkan penjelasan mengenainya telah dibuat berulang kali.

Katanya, JAKIM menerima bajet RM837 juta daripada kerajaan untuk 2020, namun RM651.1 juta atau bersamaan 77.71 peratus disalurkan kepada negeri antara lain untuk membayar elaun lebih 33,200 guru kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), lebih 14,000 imam dan 4,000 guru-guru tamir.

“Kita harap masyarakat tidak lagi memandang negatif dengan penjelasan ini,” katanya. – AlHijrah Online

Leave a Reply