MAJLIS MEDIA MALAYSIA PENCETUS ASPIRASI MEDIA BEBAS?

AJK Protem Majlis Media Malaysia.

Trend media hari ini banyak bergantung kepada penguasaan suara-suara desakan individu atau kumpulan-kumpulan tertentu terhadap sesuatu isu semasa yang menimbulkan kegusaran, kegelisahan atau konflik dalam kalangan komuniti dunia.

Perbalahan isu sosiopolitik dan sosioekonomi menyebabkan peranan media dianggap sangat relevan dengan desakan suara generasi hari ini menyalurkan pandangan menerusi medium yang dapat merangsang atau mendominasikan agenda mereka.

Tidak terkecuali dengan negara kita yang lebih 60 tahun mengecapi kemerdekaan. Bermulalah era suatu fenomena media yang menentukan kejutan, kegelisahan dan keresahan hasrat rakyat di negara ini yang dahagakan ketelusan pentadbiran dan kemakmuran negara.

Boleh dikatakan fenomena media baru atau media digital di negara ini telah menyaksikan suatu kebangkitan perubahan teknologi maklumat radikal yang membawa suara dan hasrat generasi Malaysia hari ini kepada suatu agenda kebebasan bermaklumat yang diburui oleh mereka.

Janji Kerajaan untuk merealisasikan agenda kebebasan bermaklumat kepada rakyat negara ini secara telus adalah suatu impian yang sedang dilaksanakan .

Cadangan pemansuhan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, pemansuhan penggubalan Akta Anti Berita Tidak Benar dan penyemakan semula Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia menunjukkan komitmen serius Kerajaan untuk mewujudkan peranan media yang bebas menyalur maklumat berwibawa dan integriti kepada rakyatakan menjadi kenyataan.

Impian untuk menyaksikan rakyat menikmati kebebasan memperoleh maklumat daripada saluran media, khususnya media cetak, penyiaran dan media siber pada bila-bila masa menjangkaui sempadan geografi, akan menjadi realiti.

Rata-rata kelompok pengguna tegar teknologi ini pula terdiri daripada belia yang mengambil kesempatan untuk menguasai kemahiran ICT untuk memperlengkapkan pengetahuan mereka dalam dunia komunikasi.

Justeru, regulasi media ‘lapuk’ yang disifatkan bermotifkan kepentingan agenda sempit semata-mata haruslah dilihat lebih pragmatik, iaitu memberikan rakyat pilihan untuk memperoleh akses maklumat yang adil kepada semua pengguna.

Penguatkuasaan peraturan-peraturan dalam kebanyakan akta-akta media seperti ini yang disifatkan memberi tekanan kepada pihak media untuk bersikap objektif dalam pemberitaan maklumat haruslah dikaji semula bagi menjamin ketelusan maklumat kepada generasi hari ini.

Kebimbangan kita terhadap kecenderungan generasi hari ini mengalihkan perhatian mereka kepada pengaruh media siber, boleh mengancam peranan media arus perdana. Apatah lagi ribuan karyawan daripada organisasi gergasi media di negara ini kehilangan pekerjaan disebabkan oleh kerugian besar yang dialami organisasi-organisasi media tempatan sejak kebelakangan ini.

Ia adalah isu dunia media hari ini. Bukan sahaja negara kita, tetapi fenomena ini menyaksikan banyak organisasi media dunia tumbang dan kalah dalam pertarungan menghadapi penguasaaan dan pengaruh media siber.

Kebanyakan golongan generasi muda di negara ini telah menganggap bahawa dunia media siber adalah harapan masa depan mereka untuk menyaingi ledakan kandungan maklumat yang berlaku pada hari ini. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa ledakan maklumat ini telah mengubah budaya dan pemikiran anak-anak muda di negara kita.

Pengaruh kandungan siber telah merangsang pemikiran dan perlakuan mereka untuk meneroka lebih banyak ilmu maklumat dari serata pelusuk negara dunia. Inilah yang dikatakan “teknologi di hujung jari”.

Dalam keghairahan mencipta fenomena kebebasan bermaklumat ini, sering kali kita lupa tidak semua maklumat yang kita peroleh tersebut adalah dari kalangan kandungan yang boleh dipercayai atau berkredibiliti tinggi.

Kandungan media harus tidak ditenggelami dengan pengaruh barat yang merosakkan budaya dan akidah anak-anak muda kita, tetapi seharusnya berlandaskan kepada amalan peradaban masyarakat kita serta menghindarkan kepada unsur-unsur kandungan jelik atau bersifat fitnah dan penipuan yang ditegah oleh ajaran Islam.

Penubuhan Majlis Media Kebangsaan dilihat memberikan nafas baru kepada industri media untuk mengemudi hala tuju bidang itu dan memperkasa peranan media dengan lebih efektif kepada masyarakat.

Ia juga akan memberikan manfaat kepada pengguna media di negara ini sebab mereka akan dilindungi oleh peraturan-peraturan media yang akan mengawal, mengekang dan menentukan cita rasa mereka, khususnya generasi muda di negara ini.

Bertepatan dengan hal ini, Majlis Media Kebangsaan diharapkan dapat menaikkan martabat media di negara ini untuk berfungsi dengan lebih baik, menyalurkan maklumat berita lebih berobjektif dan berintegrasi.

Dengan tidak secara langsung pelaksanaan institusi ini juga akan memperlihat media arus perdana menyaingi penguasaan media alternatif yang menggunakan platform media sosial untuk mempengaruhi minda pengguna media. Sudah pasti pihak pengurusan media berasa lega apabila kerajaan bertindak umtik memberi kebebasan kepada media memainkan peranan lebih besar yang berpuluh tahun diimpiankan mereka.

Diantara cabaran dan pendekatan harus diambil kira oleh badan induk itu bagi memastikan bahawa kebebasan media benar-benar manjadi suatu realiti. Di antaranya ialah;

a) menggalakkan lebih banyak penglibatan masyarakat dalam kempen-kempen memilih bahan kandungan media yang berfaedah;

b) menyalurkan penjelasan isu-isu dan maklumat yang tepat kepada masyarakat menerusi saluran media supaya dapat diyakini oleh para pengguna media;

c) mengiktiraf dan menghargai para pengguna media dalam kalangan generasi muda untuk memberikan mereka lebih banyak ruang menggunakan media untuk berkreatif dan mencipta pelbagai produk media yang inovatif, bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di pentas global;

d) menggalakkan lebih banyak kandungan maklumat tempatan yang dapat memenuhi sistem maklumat media yang memberi penekanan kepada mekanisme pemberitaan maklumat kepada aspek sayangkan negara dan pemeliharaan keharmonian kaum di negara ini;

e) pendidikan penggunaan media berhemah dan efektif perlu dibangunkan berlandaskan perabadan Islam dan sifat ketimuran yang diamalkan di negara ini.

Justeru itu, pendekatan Majlis Media Kebangsaan ini diyakini dapat memberi harapan baru kepada industri media untuk menyemarakkan lagi penglibatan masyarakat terhadap aktiviti-aktiviti media yang berfaedah kepada mereka serta mencetuskan fenomena dayacipta kreativiti yang tinggi menghasilkan kandungan media yang amat bersesuaian dengan keperluan. — AlHijrah Online

Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.

Leave a Reply