JANGKAAN COVID-19 BERAKHIR AWAL 2022

GAMBAR OLEH Ina FASSBENDER / AFP

COPENHAGEN: Pandemik COVID-19 dijangka akan berakhir pada awal tahun depan, lapor Agensi Berita Anadolu.

Pengarah Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk Eropah, Hans Kluge, beliau yakin pandemik itu akan berjaya dikawal lebih-lebih lagi banyak maklumat mengenai virus itu sudah diperoleh berbanding ketika peringkat awal penularan pada 2020.

Pun begitu beliau mengingatkan, tiada sesiapa pun yang dapat mengetahui keadaan sebenar pandemik COVID-19 pada masa depan.

“Virus ini akan terus wujud tetapi saya berpendapat sekatan tidak akan diperlukan. Ini adalah mesej yang optimis,” katanya.

Kluge menjelaskan, mutasi adalah perkara biasa dan virus terbabit sedang cuba menyesuaikan diri dengan individu dijangkiti, namun yang menjadi kebimbangan ialah penularan mutasi secara pantas.

Dalam pada itu katanya WHO memantau rapat keberkesanan vaksin COVID-19 yang dibangunkan.

Ujarnya vaksin boleh diubah suai berdasarkan mutasi baharu jika perlu, tanpa perlu kembali dibangunkan dari mula.

Tambahnya, mutasi juga tidak akan menjadikan virus itu berada di luar kawalan.

Bagaimanapun ia akan meningkatkan tekanan terhadap negara yang sistem penjagaan kesihatan sudahpun berdepan kesukaran, justeru isu mutasi perlu diberi perhatian amat serius.

Kluge menekankan, masalah terbesar akan muncul apabila golongan telah divaksin berada dalam kelompok sama dengan mereka yang tidak menerima vaksin, maka penjadualan adalah faktor sangat penting. – AlHijrah Online

Leave a Reply