SULTAN NAZRIN PERKENAN TAHFIZ DIBUKA BERMULA 1 MAC

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah, menzahirkan titah perkenan membolehkan maahad tahfiz di negeri itu kembali beroperasi mulai hari Isnin 17 Rejab 1442 atau 1 Mac 2021.

Perkenan Sultan Nazrin dibuat selepas baginda mendapatkan sembah nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia serta Majlis Keselamatan Negeri Perak.

Menurut Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini, setiap tahfiz perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan seperti bilangan maksimum pelajar yang dibenarkan, terhad kepada kapasiti ruang asrama dan sekolah dengan mematuhi jarak fizikal yang diwajibkan, tertakluk kepada kelulusan Jabatan Agama Islam Perak dan berpandukan nasihat Jabatan Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara negeri Perak.

“Ruang belajar, ruang hafalan, ruang solat dan ruang asrama wajib mematuhi jarak fizikal. Pelajar hanya dibenarkan mengguna bahagian bawah katil dua tingkat (double decker) dalam asrama yang menyediakan katil dua tingkat.

“Ibu bapa atau penjaga dibenarkan menghantar pelajar sehingga ke pintu pagar sahaja. Untuk meminimumkan pendedahan dan risiko, ibu bapa atau penjaga buat sementara waktu, tidak dibenarkan mengadakan sebarang lawatan menziarahi pelajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, tambahnya untuk memastikan jarak fizikal dipatuhi dan untuk meminimumkan berlakunya perkumpulan yang ramai pada sesuatu masa, pengurusan maahad tahfiz hendaklah menjadualkan waktu pendaftaran pelajar dalam tempoh masa yang lebih panjang dan ibu-bapa atau penjaga, dijemput hadir mengikut jadual secara berperingkat.

Barangan yang dibawa dari luar juga wajib disanitasi sebelum dibenarkan dibawa masuk ke dalam kawasan maahad tahfiz.

“Pengurusan maahad tahfiz wajib melakukan sanitasi premis sekolah dan asrama secara keseluruhan yang memenuhi piawaian yang disahkan oleh Jabatan Kesihatan atau pihak berkuasa yang berkaitan sebelum menerima pelajar melaporkan diri.

“Makanan berkumpulan menggunakan talam tidak dibenarkan. Setiap pelajar wajib menggunakan peralatan makanan sendiri yang tidak dikongsi dengan pelajar lain,” katanya.

Peraturan pembukaan tahfiz juga menetapkan pembekal barang kantin dan asrama, begitu juga pembekal peralatan tidak dibenarkan masuk ke kawasan maahad tahfiz.

Tambah Mohd Annuar, kawalan dan pemantauan kesihatan yang tegas hendaklah dipatuhi oleh guru dan staf yang keluar masuk kawasan maahad tahfiz.

“Semua petugas di maahad tahfiz hendaklah dihadkan kepada warga negara dan penduduk tetap Malaysia. Pengurusan tahfiz hendaklah memeriksa dan memastikan para petugas tinggal dalam rumah dan persekitaran yang tidak menimbulkan keraguan daripada segi piawaian kesihatan.

“Jabatan Agama Islam Perak dengan nasihat serta kerjasama Jabatan Kesihatan akan memperkenalkan mekanisme kawalan dan pemantauan untuk meminimumkan risiko jangkitan dalam kalangan warga maahad tahfiz,” katanya.

Mohd Annuar berkata, Sultan Nazrin menegaskan Jabatan Agama Islam Perak tidak berkompromi dalam menentukan pematuhan piawaian keselamatan kesihatan dalam kalangan warga maahad tahfiz.

Perkara itu penting bagi memastikan para pelajar diberikan perlindungan maksimum daripada risiko keselamatan kesihatan. – AlHijrah Online

Leave a Reply