MVM, RAKAN NGO SALUR RM1.3 JUTA DANA SUMBANGAN RAKYAT MALAYSIA KEPADA PELARIAN SYRIA

KUALA LUMPUR: Nasib pelarian Syria yang hidup serba kekurangan terus dibantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia.

Terbaharu, Muslim Volunteer Malaysia (MVM), Malaysia For Syria (MFS) dan HALUAN menggerakkan Misi Musim Sejuk selama 46 hari bermula 9 Januari lalu.

Misi kali ini akan membantu lebih 25,000 pelarian Syria di Turki, Lubnan dan wilayah bergolak Syria membabitkan RM1.3 juta dana sumbangan rakyat Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MVM, Mohd Fauzan Abdul Sukor, antara bantuan disalurkan kepada penerima manfaat adalah tilam, selimut, karpet, pek makanan, makanan panas, 12,500 kg tepung, minyak petrol dan arang serta empat kontena pakaian musim sejuk dan barangan keperluan lain

“Di Turki, bantuan kemanusiaan disalurkan kepada pelarian Syria di Tal Abeeyat dan Sanliurfa, manakala di Syria membabitkan pelarian di Azaz dan Halab.

“Bantuan kemanusiaan juga disalurkan kepada pelarian Syria di Arsal, Lubnan,” katanya.

Ujar Mohd Fauzan, seramai tujuh petugas kemanusiaan telibat dalam misi tersebut dengan diketuai oleh Nur Fareezah Bahar dari MFS.

Misi kali ini tambahnya dilaksanakan mengikut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti mana disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ketika dunia masih berdepan dengan pandemik COVID-19.

Individu atau organisasi yang berminat membantu pelarian Syria boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 5648 0164 7699 (Muslim Volunteer Malaysia) atau dengan melayari laman sesawang donation.mvm.org.my untuk maklumat lanjut.

Minggu lalu media melaporkan jumlah penduduk di Syria yang menderita kekurangan makanan kini melonjak kepada 12.4 juta orang berbanding 9.3 juta penduduk pada Mei tahun lalu.

Krisis itu disifatkan Program Makanan Dunia (WFP) bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai mencemaskan. — AlHijrah Online

Leave a Reply