Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

JAWI ANJUR SAMBUTAN MA’AL HIJRAH 11 JULAI INI

DALAM NEGARA

JAWI ANJUR SAMBUTAN MA’AL HIJRAH 11 JULAI INI

KUALA LUMPUR: Sambutan Ma’al Hijrah 1446H Peringkat Wilayah Persekutuan akan diadakan pada 11 Julai 2024 di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. 

KUALA LUMPUR: Sambutan Ma’al Hijrah 1446H Peringkat Wilayah Persekutuan akan diadakan pada 11 Julai 2024 di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. 

Majlis itu dianjurkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan ia akan disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

JAWI dalam kenyataan hari ini memaklumkan sambutan tersebut akan bermula pada jam 12.30 tengah hari dan tirai acara dibuka dengan Persembahan Khas Ma‘al Hijrah daripada Kumpulan Nasyid Al-Rafiq yang terdiri daripada imam dan bilal masjid sekitar Wilayah Persekutuan diikuti beberapa pengisian lain. 

“Antara pengisian utama Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan pada kali ini ialah Bual Bicara Khas Ma‘al Hijrah yang bakal mengupas topik menarik iaitu ‘Hijrah Fitrah Menuju Al-Falah’.

“Forum tersebut membariskan ahli panel undangan tersohor iaitu al-Fadil Ustaz Haryanto Rizal bin Rokman dan Imam Muda Hassan,” kata JAWI dalam kenyataan hari ini.

Acara kemuncak pada majlis tersebut adalah pengumuman dan penyampaian hadiah kepada para penerima Anugerah Tokoh Utama dan Anugerah Khas Ma‘al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1446H/2024M bagi kategori Pengurusan Masjid, Pendakwah, Korporat, dan Ilmuwan.

Anugerah tersebut salah satu bentuk penghargaan dan dorongan terhadap kesungguhan dan komitmen pelbagai pihak dalam menggerakkan agenda meninggikan syiar Islam di Wilayah Persekutuan.

“Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan diadakan bertujuan memperingati dan mengambil pengiktibaran dari peristiwa hijrah baginda Nabi Muhammad SAW supaya dapat diamalkan dalam kehidupan. 

“Ketibaan tahun baru hijrah saban tahun harus menjadi medan untuk memperbaharui niat, azam dan matlamat dalam kehidupan. Detik tersebut perlu menjadi peringatan untuk sentiasa memperbaiki diri agar menjadi muslim yang taat kepada perintah Allah SWT dan menjadi manusia yang bertanggungjawab kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara,” ujar kenyataan JAWI.

Sementara itu JAWI memaklumkan  masjid dan surau di seluruh Wilayah-Wilayah Persekutuan juga turut menganjurkan pelbagai pengisian menarik bagi menyemarakkan lagi sambutan Ma’al Hijrah di peringkat kariah masing-masing. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Mohammad Zaim Bin Nor Zamani, Ketua Unit Kandungan Digital TV AlHijrah.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading